mk-logo
Berita
Raja bomoh dan 'Puteri Zaleha' didakwa hari ini
Diterbitkan:  Jan 7, 2022 1:18 PM
Dikemaskini: 7:39 AM

Ibrahim Mat Zin ataupun lebih dikenali sebagai Raja Bomoh akan didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh hari susulan tular satu video ritual menolak musibah banjir baru-baru ini.

Pertuduhan ke atas Ibrahim dibuat bawah Seksyen 14 Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 atas kesalahan mencela dan menghina agama Islam serta Seksyen 16 enakmen sama kerana mengingkari Fatwa Jabatan Mufti Perak.

BH Online melaporkan Ibrahim yang berusia 71 tahun itu akan didakwa bersama seorang wanita yang dikenali sebagai 'Puteri Zaleha'.

Sebelum ini, video tular itu memaparkan Ibrahim dan 'Puteri Zaleha' di Dataran Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Teluk Intan.

Video berdurasi 25 minit yang tular di Facebook itu memperlihatkan Raja Bomoh bersama 'Puteri Zaleha' membuat ritual tepung tawar dipercayai untuk menolak kejadian banjir.

Mereka menggunakan bahan-bahan seperti beras, kunyit, bunga dan daun-daun kayu. Turut kelihatan di hadapan mereka ialah surah Yasin dan kitab suci al-Quran.

Semalam, Ibrahim mempertahankan perbuatannya itu, berkata ia bukanlah perbuatan khurafat atau pun syirik seperti yang didakwa setengah pihak kerana mahu mengelakkan bencana banjir.

"Sebab tempat itu rendah, mudah banjir apabila hujan. Jadi, saya buat proses pelepasan (tolak banjir) supaya semua tak kena (banjir).

"Saya tidak ada niat apa-apa, saya tidak mencaci mana-mana pihak.

"Itu petua orang dulu-dulu yang menggunakan daun-daun kayu, daun pandan, cara tradisional yang digunakan oleh datuk dan moyang kita untuk melepaskan air keluar supaya banjir tidak kena di Teluk Intan dan di seluruh kawasan Hilir Perak," katanyan dalam sidang media di laman sosial Facebook.

Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) pada Rabu telah membuka kertas siasatan terhadap Raja Bomoh.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS