Pemuda Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang Muda) menuntut agar Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) dibubarkan serta-merta selepas berpuas hati dengan penjelasan dibuat pegawai tertinggi agensi antirasuah negara.
Ketua Pejuang Muda Abu Hafiz Salleh Hudin berkata tuntutan itu dibuat kerana mereka berpendapat LPPR gagal bertindak secara profesional, selain kurang cekap dan sangat memihak.
Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini Abu Hafiz berkata penjelasan dibuat LPPR melalui Abu Zahar Ujang seolah-olah mahu merendahkan tahap intelektual rakyat Malaysia.
Sepatutnya, kata Abu Hafiz, pengerusi LPPR itu bersikap profesional.
Kegagalan pentadbiran SPRM untuk bertindak dengan moral yang tinggi telah dan akan membuatkan badan pencegah rasuah itu kehilangan integriti, kepercayaan dan menghancurkan kredibiliti mereka.
"Alasan dan skrip yang hampir serupa diberikan dan digunakan sewaktu skandal 1MDB meletus dan ini amat mendukacitakan," katanya.
Kelmarin Abu Zahar menganggap Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki tidak melakukan sebarang kesalahan di sebalik tindakan membenarkan adiknya, Nasir, membeli saham syarikat awam dengan akaunnya.
Azam juga - semasa sidang media menjelaskan kedudukan tersebut - bertegas mendakwa dia tidak melakukan sebarang kesalahan.
Abu Hafiz berkata lebih menyedihkan apabila Perdana Menteri Malaysia, Ismail Sabri Yaakob, kekal membisu dan tidak memberikan sebarang reaksi terhadap tuduhan yang menggemparkan itu.
"Apakah maksud daripada kebisuan Ismail Sabri dalam hal ini?" tanyanya.
Justeru kata Abu Hafiz Pejuang Muda mendesak Azam mesti direhatkan daripada menjalankan tugas sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM sehingga siasatan yang dilakukan oleh sebuah badan bebas selesai.
"LPPR SPRM yang dipengerusikan oleh Abu Zahar juga mestilah dibubarkan serta-merta kerana dilihat gagal bertindak secara profesional, kurang kecekapan dan sangat memihak kepada pihak tertentu," katanya.