Najib Razak, yang masih bergelut dengan kes mahkamah berkaitan 1MDB, berkata dia tidak pernah mencuri dan tidak pernah didakwa kerana mencuri dan merompak.
“Saya tidak pernah didakwa mencuri atau merompak.
“Tak sama dengan kes (Lim) Guan Eng yang didakwa bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 iaitu meminta atau menerima suapan dan juga bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan - criminal misappropriation of property,” katanya.
Berkaitan pendakwaan bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001, dia sekali lagi berkata ia bukan untuk kegunaan peribadi.
“Bukan curi dan rompak sebab wang bukannya untuk kegunaan peribadi saya atau keluarga.
“Semasa menjatuhkan hukuman, hakim juga kata bahawa dana RM42 juta bukan hak Najib untuk sedekah.
“Jika saya curi dan rompak, apa yang saya beli dengan hasil curian ini untuk diri sendiri atau keluarga?” soalnya.
Sementara itu, Najib juga berakata orang yang berniat mencuri tidak akan memasukkan wang ke dalam akaunnya sendiri.
Mahkamah Rayuan pada 8 Disember mengekalkan keputusan bersalah dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib dalam kes penyelewengan RM42 juta dana bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn bhd.
Sabitan dan hukuman bagaimanapun ditangguhkan sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Persekutuan, mahkamah paling tinggi dalam negara.
Serang Mahathir
Dalam tulisan di Facebook hari ini, Najib turut mengambil peluang membidas musuh politiknya Dr Mahathir Mohamad.
“Adakah saya memiliki ladang kuda, projek resort tepi pantai, sebahagian kepentingan dalam hotel mewah lima bintang ataupun syarikat perkhidmatan jet peribadi seperti kamu?
“Ataupun adakah anak-anak saya pernah memiliki kepentingan besar dalam lebih 12 syarikat disenarai seperti keluarga Tun?
“Saya yang mencuri tapi kamu dan keluarga berbilion-bilion aset pula?” sindirnya terhadap Mahathir yang pernah terpalit dengan skandal pemerdagangan wang asing (Forex) oleh Bank Negara.