mk-logo
Berita
MN atau PN? Kata dua Umno K'tan pada PAS bukan ugutan - Veteran
Diterbitkan:  Jan 7, 2022 11:25 AM
Dikemaskini: 5:12 AM

Veteran Umno Kelantan mempertahankan kenyataan Umno negeri itu yang memberi kata dua kepada PAS Kelantan supaya memilih antara Muafakat Nasional (MN) atau Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi Veteran Umno Kelantan, Kamarudin Abdullah berkata pendirian Umno Kelantan bukanlah satu ugutan ataupun cubaan untuk mengikat PAS.

"Umno sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka melalui kenyataan Timbalan Presidennya, Mohamad Hasan telah meminta PAS buat pilihan sama ada mahu bersama BN atau kekal dengan PN.

"Ternyata PAS memilih PN walaupun BN sedia memperuntuk lima kerusi DUN untuk PAS.

"Jadinya tidak timbul Umno Kelantan mahu mengikat PAS kerana PAS sudah membuat pilihan. Bagi Umno, pilihan PAS dalam PRN Melaka itu akan menjadi pilihannya dalam PRU15 nanti," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Gambar fail, majlis pelancaran Piagam Muafakat Nasional.

Polemik mengenai kerjasama dua parti itu menjadi hangat apabila PAS memilih untuk bersama dengan Bersatu dalam PN.

Semasa PRN Melaka baru-baru ini, bahkan PAS memilih untuk bertanding menggunakan logo PN meskipun BN menawarkan kerusi untuk parti itu bertanding.

Terbaru, pendirian Presiden PAS, Abdul Hadi Awang bahawa parti itu akan terus memperkasakan MN dengan Umno dan pada masa sama terus mempertahankan PN.

Dalam pada itu Kamarudin berkata Umno Kelantan sudah pasti akur dengan keputusan usul bahagian-bahagian yang diluluskan dalam persidangan pada 18 Dis 2021 lalu yang mahukan Umno dan BN bertanding solo.

"Bukanlah hasrat Umno Kelantan untuk menyerah diri untuk disembelih oleh PAS, cuma mungkin hasrat murni kepimpinan Umno negeri yang mahu mencari titik persamaan dalam konteks politik Kelantan.

"Bagaimanapun, Veteran berharap Umno Kelantan tidak akan terperangkap dengan helah seribu PAS dalam pertemuan itu.

"Adalah lebih baik sekiranya pertemuan itu sekadar untuk memberitahu PAS keputusan bahagian yang mahu Umno bertanding solo seperti sebelum ini," katanya. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS