Ibrahim Mat Zin mempertahankan tindakan ritual yang dilakukan kononnya untuk menolak banjir di Dataran Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Teluk Intan dan tular kelmarin.
Dia berkata kerana apa yang dilakukan itu bukanlah perbuatan khurafat atau pun syirik seperti yang didakwa setengah pihak kerana mahu mengelakkan bencana banjir.
"Sebab tempat itu rendah, mudah banjir apabila hujan. Jadi, saya buat proses pelepasan (tolak banjir) supaya semua tak kena (banjir).
"Saya tidak ada niat apa-apa, saya tidak mencaci mana-mana pihak.
"Itu petua orang dulu-dulu yang menggunakan daun-daun kayu, daun pandan, cara tradisional yang digunakan oleh datuk dan moyang kita untuk melepaskan air keluar supaya banjir tidak kena di Teluk Intan dan di seluruh kawasan Hilir Perak," katanyan dalam sidang media di laman sosial Facebook.
Terdahulu tular di laman media sosial klip video selama 25 minit yang menunjukkan Ibrahim bersama wanita didakwa seorang puteri melakukan tepung tawar menggunakan pelbagai bahan yang kemudian dihanyutkan ke laut.
Dalam rakaman itu, wanita yang dikenali sebagai Puteri Zaleha turut menyanyikan lagu Mayang Sari dengan meletakkan kitab suci al-Quran di hadapan mereka.
Mengulas lanjut, Ibrahim berkata wanita terbabit ialah sepupunya dan mereka melaukan upacara berkenaan secara sukarela tanpa melibatkan mana-mana pihak lain.
Dia juga mendakwa tindakan itu bukan untuk meraih publisiti sebaliknya hanya mahu menyelamatkan makam diraja yang berada di hilir Sungai Perak itu.
"Saya dengan sukarela turun padang bersama dengan sepupu saya Puteri Zaleha ke tanah perkuburan tanah orang tua saya yang berada berhampiran dengan Sungai Perak.
"Saya takut tanah perkuburan itu dilanda banjir kerana di kawasan perkuburan orang tua saya itu saya telah bina bangsal, tempat letak jenazah, tempat mengaji sementara menunggu proses pengebumian ketika hari panas terik dan saya membuatnya kerana Allah dan kerana mahu membantu penduduk-penduduk Teluk Intan.
"Tujuan saya buat itu adalah bagi menyelamatkan tanah perkuburan raja-raja Melayu yang berada di tepi-tepi Sungai Perak supaya jangan hilang, jangan dipenuhi lumpur, jangan hilang sahabat handai dan saudara mara saya serta jiran-jiran saya di pekan Teluk Intan. Itu tujuan saya, bukan untuk publisiti," katanya.
Ibrahim turut menempelak tindakan pihak tertentu yang didakwanya mudah menjatuhkan hukum tanpa soal selidik.
Justeru dia membuat laporan polis di Teluk Intan.
"Ada sebilangan jabatan mengatakan saya syirik dan khurafat, langsung tidak ada budi bicara.
"Sepatutnya datang berbincang dahulu. Kita ini negara demokrasi dan negara Islam, ada budi pekerti dan budi bicara.
"Jadi, sepatutnya boleh panggil saya untuk berbincang dan nyatakan kepada saya apa yang saya buat itu tidak betul. Ini tiba-tiba jabatan (agama Islam) katakan khurafat, syirik, jatuhkan hukum macam Yahudi.
"Tak boleh macam itu, kita ada budi bicara. Kalau salah, kita betulkan," katanya.