Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes Kesavan: Mahkamah perintah hujahan bertulis sebelum 28 Feb

Perbicaraan penuh kes saman malu berhubung dakwaan gangguan seksual oleh Ahli Parlimen Sungai Siput S Kesavan terhadap bekas pembantunya ditutup hari ini, selepas peguam pembela memberitahu mahkamah bahawa mereka tidak akan membela kes tersebut dan hanya akan memfailkan hujahan bertulis.

Dalam perbicaraan hari kedua, di Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur pagi tadi, peguam Azhar Arman Ali memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya tidak akan membela kerana tiada “kes untuk dijawab”.

Sebaliknya, Azhar berkata anak guamnya akan memfailkan hujahan bertulis. Pihak pembela juga tidak mengemukakan sebarang saksi dalam kes itu.

Seterusnya, Hakim Azimah Omar meminta kedua-dua pihak menfailkan hujahan bertulis sebelum 28 Februari 2022.

Pada 17 Mei lalu, Malaysiakini melaporkan Kesavan dan wanita berkenaan yang juga bekas bendahari PKR cabang Sungai Siput saling membuat laporan polis antara satu sama lain.

Dalam laporan polis itu, wanita berkenaan mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual anggota parlimen PKR berkenaan sejak Disember tahun lalu.

Kesavan pula membuat laporan polis mengadu tentang trauma dan gangguan jiwa terhadapnya.

Wanita itu memfailkan saman terhadap Kesavan selepas ahli parlimen itu mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan melakukan gangguan seksual.

Perbicaraan bermula pada Mac 2021 dan dibicara selama dua hari sebelum ditangguh beberapa kali sebelum bermula semula pada 5 Januari 2022.

Kesavan diwakili firma Armand Ali & Co, manakala pihak plaintif diwakili peguam Rueben Mathiavaranam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS