Penjelasan dibuat Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) berubung isu yang menyelubungi bos Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, menunjukkan wujud kegagalan dalam mekanisme pengawasan berkenaan.
Menurut sembilan ahli parlimen PKR, keadaan itu menunjukkan mekanisme tersebut perlu dirujuk kepada pihak atasan - termasuk parlimen - agar penyelesaian dapat dicapai.
Pada sidang media secara maya hari ini, mereka menegaskan Azam masih memegang berjuta-juta saham setakat Mac 2016 walaupun sebelum ini Pengerusi LPPR Abu Zahar Ujang memberitahu ia sudah dipindahkan kepada adik ketua pesuruhjaya SPRM itu, Nasir, pada 2015.
"Kami mendapati penjelasan Abu Zahar menimbulkan lebih banyak persoalan daripada menjelaskan sama ada pemilikan Azam terhadap saham dan waran itu adalah kesalahan jenayah dan salah guna kuasa atau tidak.
"Nampaknya terdapat kegagalan institusi dalam mekanisme pengawasan SPRM yang perlu dirujuk kepada pihak atasan termasuk parlimen untuk mencari penyelesaian.
"Kami berasa kecewa kerana LPPR mencapai kesimpulannya hanya berdasarkan satu mesyuarat bersama Azam pada 24 Nov tahun lalu," kata mereka.
Sembilan ahli parlimen yang membuat kenyataan tersebut ialah Nurul Izzah Anwar (Permatang Pauh) Sivarasa Rasiah (Sungai Buloh), Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya), Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang), Sim Tze Tzin (Bayan Baru), Fahmi Fadzil (Lembah Pantai), Hassan Abdul Karim (Pasir Gudang), Maszlee Malik (Simpang Renggam) dan Akmal Nasir (Johor Bahru).
Sivarasa bertindak sebagai jurucakap kumpulan terbabit.
Wang disimpan atau dipindahkan
Menurutnya LPPR sepatutnya tidak sekadar memanggil Azam untuk memberi penjelasan bahkan menjalankan siasatan penuh dengan memanggil semua saksi dan mengumpulkan semua dokumentasi yang berkaitan.
Pada 2015, kata mereka, Azam memiliki 1,930,000 saham dalam Gets Global Bhd dan memerlukan wang sekurang-kurangnya RM1 juta untuk membeli pegangan tersebut.
"Kami bertanya kepada Abu Zahar: Adakah LPPR melihat dokumentasi pergerakan wang ini daripada Nasir ke Azam? Bila ia berlaku? Adakah melalui pindahan wang atau draf bank atau cek?
"Mengapa LPPR tidak berjumpa Nasir untuk mengesahkan transaksi wang tersebut?" kata mereka lagi.
Pada 2016 pula, tambah mereka, Azam dikatakan mengurangkan pegangan sahamnya kepada kira-kira sejuta saham.
Pun begitu, tambah ahli parlimen terbabit, adakah LPPR bertanya sama ada Azam menerima sebarang dividen daripada saham tersebut atau sebaliknya.
"Jika ya, adakah dia menyimpan wang itu atau memberikannya kepada Nasir?" katanya.
Pada 2016 pula Azam didapati membeli 2,156,000 waran dalam Excel Forces MSC Bhd. Justeru kata mereka LPPR perlu meneliti dari manakah wang untuk membeli kepentingan itu datang.
Kata mereka, jika Abu Zahar menjelaskan Azam menerima wang daripada Nasir untuk membeli waran, mengapa pula Nasir membeli 3,728,000 saham dalam Gets Global Bhd atas namanya sendiri tanpa membeli melalui bos SPRM itu.
"Fakta ini menimbulkan keraguan besar pada versi Azam dan ia memerlukan siasatan penuh.
"Abu Zahar dan anggota LPPR nampaknya mahu menutup mata dengan semua ini," dakwa mereka.
Mengapa hampir 3 minggu
Tambah ahli parlimen terbabit, Abu Zahar juga mendakwa semua saham milik Azam dipindahkan semula kepada Nasir pada 2015 namun fakta yang diketahui menunjukkan hal sebaliknya berlaku.
Pertama, kata mereka, Azam masih memegang 1,029,000 saham dalam Gets Global pada 2016 dan kini memiliki 2,156,000 waran dalam Excel Force .
Semua data itu, kata mereka, jelas bercanggah dengan kenyataan Abu Zahar dan menunjukkan versi Azam memerlukan siasatan penuh.
"Selepas 2016, Azam dan Nasir tidak terus memiliki saham yang dinyatakan di atas. Saham dan waran telah dijual dengan jelas.
"Adakah Lembaga menyiasat jejak wang tersebut? Ke mana perginya wang itu?" tanya mereka.
Semua persoalan yang timbul, katanya, menunjukkan LPPR patut melakukan penyiasatan yang sewajarnya terhadap penjelasan Azam, bercakap dengan saksi dan menyemak semua dokumen, bukannya hanya menerima keterangan yang dibuat.
Mereka juga meminta Abu Zahar menjelaskan mengapa LPPR mengambil masa hampir tiga minggu untuk memberi maklum balas secara terbuka selepas isu itu dibangkitkan di parlimen pada 16 Dis 2021.
Hal itu kerana, kata mereka, LPPR SPRM mengadakan pertemuan dengan Azam pada 24 Nov lalu.
Sementara itu Syed Ibrahimd an Sim menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memberikan pandangan berhubung isu tersebut.
"Ini adalah Azam-gate yang dibangkitkan PKR pada minggu terakhir persidangan Dewan Rakyat yang lalu.
"Ini juga ujian kepada Umno dan BN serta kerajaan Perikatan Nasional untuk membuktikan mereka serius memerangi rasuah," kata Sim.