story images
story images
mk-logo
Berita
MB tawar penduduk Kg Baru Pulau Tiga pindah PPRT Paya Nahu
Diterbitkan:  Jan 6, 2022 3:49 PM
Dikemaskini: 7:49 AM

Kira-kira 30 keluarga yang diarahkan mengosongkan tanah didiami mereka di Kampung Baru Pulau Tiga, Sungai Layar, Sungai Petani ditawarkan menduduki Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Paya Nahu dengan bayaran sebanyak RM124 sebulan.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata tawaran itu adalah yang terbaik boleh diberikan kepada penduduk berkenaan untuk mereka mempunyai kediaman dengan kadar segera.

“Dalam mesyuarat Exco Kerajaan Negeri semalam, kita telah buat keputusan untuk menawarkan kepada penduduk terbabit penempatan di perumahan awam Paya Nahu yang masih ada kekosongan 40 unit dan 30 daripadanya ditawarkan kepada mereka.

“Terdapat beberapa unit yang memerlukan pembaikan dan kerajaan negeri akan melakukan pembaikan, selepas itu mereka boleh masuk dalam masa terdekat dengan bayaran RM124 sebulan,” katanya pada sidang media di Alor Setar hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai usaha kerajaan negeri bagi membantu penduduk berkenaan selepas Mahkamah Tinggi Alor Setar mengeluarkan notis bertarikh 19 Dis tahun lepas agar tanah yang mereka diami dikosongkan selewat-lewatnya Isnin lepas (3 Januari 2022).

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata kerajaan negeri sebelum ini memang bercadang mencari kawasan tanah lain untuk penduduk terbabit, namun proses pemilikan tanah kerajaan akan memakan masa yang panjang menyebabkan mereka menunggu lama.

Beliau berkata tiada pampasan daripada kerajaan negeri akan diberikan kepada penduduk memandangkan ia bukan pengambilan tanah oleh kerajaan negeri sebaliknya tanah yang didiami adalah milik individu lain yang menuntut haknya melalui proses mahkamah.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata beliau turut dimaklumkan ada penduduk yang mendiami tanah tersebut dikatakan menjadi mangsa penipuan sindiket penjualan tanah tidak sah.

“Biasanya sindiket penjualan tanah ini melibatkan tanah-tanah kerajaan, tapi dalam kes ini melibatkan tanah individu, jadi pemilik tanah ada hak untuk membawa ke mahkamah dan menuntut haknya.

“Kerajaan memandang serius isu-isu melibatkan sindiket tanah yang memplot tanah kerajaan dan dijual secara tidak sah, saya juga nasihat supaya pembeli pastikan betul-betul status tanah yang hendak dibeli,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS