Ahli Parlimen Bintulu, Tiong King Sing menyatakan kebimbangan mengenai peningkatan paras air di sungai-sungai Sarawak dan meminta pelan induk jangka panjang.
Dia berkata, kerajaan mesti menggunakan strategi tindak balas jangka panjang dan rancangan untuk menangani keperluan 15 hingga 20 tahun ke depan.
“Kita perlu pergi ke punca utama untuk merawat isu dan masalah yang kita hadapi hari ini dalam pengurusan air dan tebatan banjir.
“Saya harus tegaskan bahawa hanya menambah baik longkang hanya akan menyelesaikan sebahagian daripada keseluruhan masalah banjir.
"Untuk mengelakkan seluruh Sibu, terutama Dudong, daripada banjir kilat, kita mesti mengorek dasar sungai di Sungai Rajang dan Igan secepat mungkin," katanya dalam satu kenyataan.
Tiong, yang juga Adun Dudong dan Duta Khas Perdana Menteri ke China, turut mempersoalkan peruntukan dana dalam tinjauan baru-baru ini.
Dia berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sebelum ini telah memohon geran RM10 juta bagi melaksanakan kerja ukur dasar sungai di sungai Rajang dan Igan.
"Apabila saya menyemak perkara ini tidak lama dahulu, pengarah mendedahkan sejumlah RM6 juta telah diluluskan. Bagaimanapun, jabatan itu kemudiannya juga berkata ia berhasrat menggunakan hanya RM2.8 juta untuk menjalankan tinjauan berkaitan.
"Ini sama sekali tidak boleh diterima oleh saya: RM6 juta telah diberikan untuk kerja ini, ke mana perginya RM3.2 juta yang lain?" kata Tiong yang kini sedang menjalani penggal kelima sebagai Ahli Parlimen Bintulu yang pertama kali dipilih pada 1999.
Malaysiakini sedang mendapatkan maklum balas daripada JPS mengenai perkara ini.
Tiong menyebut peningkatan paras air di kawasan Dudong, termasuk Stabau, Sentosa, dan Jalan Salim sebagai fokus perbincangannya dengan JPS Sibu dan Lembaga Sungai Sarawak,
“Berdasarkan laporan jabatan berkaitan, jengkaut yang digunakan pada masa ini untuk projek saliran dan penggalian parit semuanya adalah model tan kecil.
"Pandangan saya ialah mesin ini tidak cukup besar untuk melakukan apa-apa kerja yang bermakna untuk melebarkan dan mendalamkan sungai, hanya untuk membersihkan sampah yang menyumbat sungai. Kita juga tidak boleh melebarkan sungai tanpa menurunkan kedalaman," tambahnya.
Dia menyeru jabatan kerajaan untuk memberi tumpuan kepada menaik taraf longkang kecil kepada longkang konkrit bertetulang yang lebih luas untuk persediaan menghadapi peningkatan mendadak dan pesat dalam jumlah air.
“Ini sepatutnya menambah baik masalah tempatan kapasiti longkang yang tidak mencukupi yang membawa kepada banjir kilat dan bencana lain.
“Melakukan perkara ini penting bagi melindungi penduduk daripada dibelenggu banjir kilat yang kerap menyebabkan beban kewangan dan kesihatan yang besar kepada isi rumah berpendapatan rendah dan ekonomi,” kata Tiong.