Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Korban banjir kini 54 orang, dua masih hilang

Sejumlah 54 kematian akibat banjir direkodkan di seluruh negara dan dua lagi masih hilang setakat hari ini, kata Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman Hazani Ghazali.

Katanya negeri yang mencatatkan kematian tertinggi ialah Selangor dengan 25 orang, diikuti Pahang (21), Kelantan (empat), Sabah (tiga) dan seorang di Negeri Sembilan.

Hazani berkata situasi semasa laporan banjir dari semua pusat kawalan kontinjen mendapati seramai 13,322 mangsa di seluruh negara direkodkan setakat 12 tengah hari tadi.

"Sebanyak tujuh negeri terlibat banjir dan sejumlah 172 pusat pemindahan sementara (PPS) masih aktif," katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman di Kuala Lumpur hari ini.

Mengulas mengenai situasi banjir di Segamat, Johor, Hazani berkata empat kampung di daerah berkenaan terputus jalan utama akibat dinaiki air setakat hari ini namun keadaan masih terkawal.

"Empat perkampungan yang terputus laluan utama ialah Kampung Lubuk Lanjut, Kampung Batu 10, Kampung Budu dan Kampung Spang Loi.

"Keadaan di Segamat masih dalam kawalan. Misi memberi bantuan masih kami teruskan dengan menggunakan sebuah helikopter yang telah diatur gerak bagi membantu mangsa banjir di perkampungan yang terjejas," katanya.

Hari ini, Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani mengarahkan JKDNKA untuk menyelaraskan bantuan meliputi jalan udara serta air bagi memastikan kebajikan penduduk terjejas banjir kekal terpelihara.

Bantuan itu antaranya sebuah helikopter milik Pasukan Gerakan Udara polis diguna untuk menghantar bekalan keperluan bagi penduduk di Segamat yang terputus hubungan ekoran jalan darat dinaiki air.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS