Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, percaya dia tidak melakukan sebarang kesalahan justeru tidak perlu memberikan reaksi terhadap tuduhan yang dikaitkan dengannya.
Bercakap pada sidang media di Putrajaya hari ini Azam berkata dia hanya bertanggungjawab memberi penjelasan kepada Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) SPRM.
Langkah tersebut, katanya, sudah dilakukan sebelum ini.
"Saya tak tampil untuk memberi penjelasan kepada pihak awam kerana saya tidak membuat sebarang kesalahan," katanya.
Apabila diminta oleh LPPR, tambah Azam, dia berbuat demikian dan memberikan penjelasan terperinci kepada badan tersebut.
"Saya hanya answerable (perlu menjawab) kepada LPPR," katanya.
Terdahulu Azam ditanya wartawan mengapa dia mengambil masa yang agak lama sebelum membuat penjelasan berkenaan tuduhan yang dikaitan dengannya.
Dia memberikan penjelasan berkenaan selepas diminta berbuat demikian oleh Pengerusi LPPR, Abu Zahar Ujang. Sebelum itu Abu Zahar sendiri mengadakan sidang media mengenai isu tersebut.
'Bagitahu jika ia satu kesalahan'
Menurut Azam semasa memberikan keterangan di depan LPPR SPRM, dia menjelaskan bahawa saham yang dikaitkan dengannya itu dibeli oleh adiknya yang meminjam namanya.
Dia juga menafikan pembelian saham oleh adiknya itu menyebabkan wujud konflik kepentingan.
"Dalam isu saham, saya tak melakukan sebarang kesalahan. Tuduhan yang menyaakan saya ada konflik kepentingan adalah tak berasas.
"Saya dah jelaskan kepada panel LPPR bahawa akaun saham saya yang digunakan adik saya, saya tak ada kepentingan atas saham-saham yang dibeli itu.
"Ia dibeli melalui pasaran terbuka dan ia tiada kaitan dengan siasatan oleh SPRM. Akhirnya, kesemua saham telah dipindahkan ke akaun beliau (adik)," katanya.
Apabila didesak lagi agar menjelaskan mengapa adiknya perlu menggunakan nama orang lain bagi mendapatkan saham tersebut, Azam berkata, pada pandangannya ia bukan suatu isu.
Bahkan Azam mencabar pihak yang tidak berpuas hati agar membuktikan tindakan tersebut merupakan pelanggaran undang-undang.
"Saya tidak melihat ia jadi satu isu. Jadi saya benarkanlah.
"Sesiapa pun boleh guna akaun untuk beli saham di pasaran terbuka. Bagitau saya kalau ia satu kesalahan," katanya.
Azam menjadi perhatian ramai baru-baru ini selepas muncul dakwaan pihak tertentu yang dia memiliki saham dalam dua syarikat awam pada 2015.
Menurut laporan tahunan Excel Force Bhd 2015, Azam memiliki 2,156,000 unit saham dalam syarikat itu setakat 21 Mac 2016. Ketika itu, Azam ialah Pengarah Siasatan SPRM.
Azam berkata ketika itu dia juga mengisytiharkan saham tersebut kepada ketua jabatannya mengenai pemerolehan saham oleh adiknya dan ia dibuat atas inisiatif sendiri.
"Walaupun saya (sebenarnya) tak perlu isytiharkan kepada ketua jabatan, namun saya mengambil insitiatif sendiri untuk memaklum kepada ketua saya pada waktu itu dan mereka berpuas hati denan penjelasan berkenaan," katanya.
Azam tidak menamakan siapa pegawai atasan yang telah diberikan taklimat tersebut tetapi sebagai pengarah siasatan, Azam bertanggungjawab kepada ketua pesuruhjaya dan timbalan ketua pesuruhjaya SPRM ketika itu.
Azam berkata dia percaya ada pihak tertentu yang cuba mencemarkan nama dan agensi diketuainya dan tidak menolak kemungkinan ia didalangi pihak yang tidak berpuas hati dengan SPRM.
“Saya percaya ini adalah sebahagian daripada cabaran yang mesti dihadapi oleh semua ketua pesuruhjaya SPRM.
"Saya beri aku janji untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab membawa SPRM ke arah agensi yang berwibawa, berintegriti dan profesional dalam segala tindakannya," tambah Azam.
Azam berkata, dia juga telah menerima nasihat undang-undang dan memutuskan untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang mencemarkan nama baiknya.