Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Azmi nafi saman 1MDB digugurkan supaya beri keterangan terhadap Najib
Diterbitkan:  Jan 5, 2022 2:50 PM
Dikemaskini: 6:50 AM

Bekas ketua pegawai kewangan (CFO) 1MDB, Azmi Tahir tidak bersetuju bahawa saman sivil oleh 1MDB terhadapnya ditarik balik sebagai balasan untuk memberikan keterangannya terhadap Najib Razak.

Dia bagaimanapun bersetuju dengan pasukan peguam bekas perdana menteri itu bahawa nama beberapa saksi pendakwaan juga digugurkan daripada saman sivil yang sama.

Semasa perbicaraan terhadap Najib berhubung kes rasuah melibatkan dana RM2.28 bilion 1MDB, saksi pendakwaan ke-12 itu berkata dia tidak memberikan keterangan terhadap bekas perdana menteri itu, semata-mata sebagai balasan agar namanya (Azmi) disingkirkan daripada saman sivil oleh 1MDB.

Saksi itu berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam bela Hariharan Tara Singh, yang berhujah bahawa 1MDB menggugurkan saman sivilnya supaya dia memberi keterangan terhadap Najib.

Hariharan: Anda setuju walaupun terdapat tuntutan besar (saman sivil 1MDB) terhadap anda, saman itu kemudiannya dipinda dan nama anda dibuang?

Azmi: Ya

Hariharan: Saya menyatakan kepada anda bahawa nama anda telah dikeluarkan daripada saman sivil ini supaya anda boleh memberikan keterangan terhadap Najib.

Azmi: Saya tidak setuju.

Hariharan: Anda setuju bahawa orang yang tidak dipanggil sebagai saksi (dalam kes jenayah 1MDB terhadap Najib), nama mereka kekal dalam saman sivil?

Azmi: Setuju.

Azmi adalah antara 22 individu dan entiti yang menjadi sasaran saman sivil oleh 1MDB dan bekas anak syarikatnya SRC International pada tahun lepas.

Saman sivil itu menyasarkan mereka yang didakwa menipu dua entiti milik kerajaan itu, sama ada secara sedar atau tidak.

Bagaimanapun, pada penghujung tahun lalu dilaporkan beberapa nama defendan telah dikeluarkan daripada saman sivil berkenaan, seperti Azmi; bekas pengarah 1MDB Che Lodin Wok Kamaruddin, Ismee Ismail, Ong Gim Huat dan Ashvin Jethanand Valiram; bekas CEO 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Mohd Hazem Abdul Rahman.

Selain Azmi yang kini berada di kandang saksi, saksi lain seperti Shahrol Azral, Hazem dan Ismee sebelum ini telah memberi keterangan untuk pihak pendakwaan dalam perbicaraan terhadap Najib.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung petang ini, dan dijangka akan diteruskan esok.

Najib dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion dana 1MDB.

1MDB dimiliki sepenuhnya oleh kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Selain merupakan bekas perdana menteri, tertuduh juga pernah menjadi menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

Pihak pendakwaan berhujah bahawa ahli perniagaan Low Taek Jho (Jho Low), atas arahan Najib, telah berpakat dengan beberapa pegawai 1MDB lain untuk menyalahgunakan berbilion ringgit dana daripada syarikat itu, dan melalui aliran kewangan yang kompleks memindahkan sebahagian dana itu ke akaun perdana menteri ketika itu.

Bagaimanapun, pasukan pembelaan berhujah bahawa Najib tidak tahu mengenai salah laku dalam 1MDB, dan keseluruhan urusan itu didalangi sepenuhnya oleh Jho Low dan beberapa pihak lain dalam 1MDB.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS