Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM) mempersoal tindakan pihak sekolah meminta sewa kantin ketika pengusaha berdepan kesulitan akibat pandemik Covid-19.
Presidennya, Hamzah Omar meminta kerajaan memberikan penangguhan bayaran sewa kantin selama enam bulan bagi membantu pengusaha yang berdepan kesulitan selepas hampir dua tahun tidak berniaga.
"Walaupun gembira kerana akan dibuka semula, pengusaha juga kebingungan kerana kehabisan modal untuk mulakan semula perniagaan. Nak meminjam wang? Pinjaman yang lepas pun masih belum dilangsai.
"Ketika memikirkan pasal modal nak mula berniaga, sekolah pula minta sewa Januari dilunaskan sebelum 7 hari bulan ini, tanpa boleh ditangguh, menyalahi peraturan audit, katanya. Nampaknya peraturan audit tersebut sangat rigid (kaku), tak boleh diusik.
"Ketika pernigaan jalan lancar, peniaga tak pernah culas membayar sewa, tapi dalam keadaan sekarang, nak bayar RM3,000 atau RM4,000 sebulan, memang tak mampu.
"PPKSM sudah minta agar sewa kantin dikecualikan bagi tempoh enam bulan lagi. Masih tak ada jawapan," katanya kepada Malaysiakini.
Pernigaan pengusaha kantin sekolah terjejas ekoran penutupan sesi persekolahan akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara.
Bukan saja pengusaha kantin sekolah, banyak sektor dan perniagaan lain juga terjejas akibat pandemik itu, malah banyak pernigaan yang terpaksa gulung tikar.
Dalam pada itu, PPKSM meminta kerajaan pertimbang kenaikan kadar bayaran bagi rancangan makanan tambahan (RMT).
"PPKSM juga minta kadar RMT ditambah. Peruntukan RM2.50 untuk nasi lauk ayam, air Milo dan buah amat membebankan. PPKSM mohon dinaikkan RM4.00
"Malangnya peruntukan tak ditambah. Sebaliknya pengusaha kantin diperuntukkan RM1.50 untuk membeli susu RMT.
"Sebelum ini, susu berkenaan berharga RM1.45, dijual RM1.50. Untung 5 sen tak dapat tampung kos, malahan wang belian susu hanya dapat dituntut sebulan kemudian. Wang yang sepatutnya dibuat modal pusingan tersimpan beku selama sebulan," katanya.