Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bersih: Lantik Redzuan jadi pengerusi Boustead tak beretika
Diterbitkan:  Jan 4, 2022 6:38 PM
Dikemaskini: 10:38 AM

Badan pemantau pilihan raya Bersih mengkritik tindakan kerajaan melantik Ahli Parlimen Alor Gajah Mohd Redzuan Md Yusof sebagai pengerusi Boustead Holdings Bhd.

Bersih berkata langkah itu tidak beretika kerana dilihat sebagai usaha mendapatkan sokongan ahli parlimen.

“Hal ini membuka kemungkinan salah guna sistem dan mungkin akan merugikan kemajuan negara dan prestasi ekonomi agensi tersebut

“Lebih memprihatinkan adalah kemungkinan salah guna kewangan sebagaimana dalam kes 1MDB. Malah Boustead juga sedang mengalami kerugian sejak daripada 2018 lagi,” kata Bersih dalam kenyataan hari ini.

Redzuan merupakan seorang tokoh korporat sebelum menang dalam PRU 2018 dengan tiket PH.

Ketika pentadbiran PH, dia menjadi Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Selepas itu,d ia menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) ketika Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri.

Dia tidak dilantik ke dalam kabinet ketika Ismail Sabri Yaakob mengambil alih jawatan itu.

Boustead adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pertahanan. Ia terlibat dalam sektor perladangan, hartanah, farmaseutikal, industri berat dan kewangan.

Bersih berkata lagi, undang-undang perlu digubal bagi menghalang ahli parlimen memegang jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Ini kerana peranan ahli parlimen antaranya adalah sebagai semak dan imbang kepada GLC yang diselia pihak eksekutif.

Kata Bersih lagi, GLC perlu dikemudi oleh golongan profesional memandangkan mencampur adukkan perniagaan dan politik akan menggalakkan amalan kronisme, rasuah, penaungan dan salah guna kuasa.

“Sesetengah GLC sudahpun mempunyai peraturan sedemikian seperti Perkeso yang melarang pelantikan wakil rakyat sebagai pengerusi berdasarkan statut syarikat.

“Undang-undang juga perlu menyediakan kriteria pelantikan yang terikat dengan undang-undang serta menggariskan mekanisme pelantikan dan pelaporan demi ketelusan yang lebih baik,” kata Bersih lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS