Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Polis harus tumpu usaha bantu mangsa banjir bukan siasat wartawan'
Diterbitkan:  Jan 4, 2022 5:23 PM
Dikemaskini: Jan 5, 2022 3:22 AM

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) membantah tindakan polis yang menyoal siasat seorang wartwan sebuah portal berita berkenaan tulisannya mengenai perkembangan banjir di negara ini, bulan lalu.

Naib Presiden Muda, Lim Wei Jiet berkata sebarang tindakan berkenaan boleh dianggap sebagai ugutan terhadap pihak media dan wartawan.

“Muda berpendapat bahawa pihak media dan wartawan harus diberi kebebasan yang sewajarnya untuk melaporkan isu semasa negara.

“Lebih-lebih lagi dalam situasi musibah banjir di mana pihak media memainkan peranan penting dalam memupuk akauntabiliti dan respon relif banjir yang lebih efektif daripada pihak yang bertanggungjawab,” katanya.

Lim merujuk kepada tindakan polis yang menyoal siasat Sean Augustin, seorang wartawan Free Malaysia Today (FMT) berkenaan laporannya pada 21 Disember lalu yang bertajuk “Fed up of waiting, the military rolls into flood relief”.

Dalam laporan itu, Sean mendakwa tentera bertindak membantu memindahkan mangsa banjir tanpa menunggu arahan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Memetik sumber, wartawan itu mendedahkan Kementerian Pertahanan berasa “muak” dengan NADMA dan kerajaan Selangor yang lambat bertindak.

Sumber itu juga dipetik sebagai berkata, agensi itu “tidak tahu bagaimana untuk menangani krisis berkenaan”, dengan mendakwa tiada seorang pun daripada NADMA atau kerajaan negeri memantau media sosial untuk mendapatkan mesej SOS daripada mangsa.

Katanya, pihak kementerian pertahanan terpaksa “menjerit” kepada kakitangan NADMA dan baru selepas itu agensi berkenaan memanggil mesyuarat untuk menyelaraskan usaha bantuan.

Mengulas lanjut, Lim berkata, polis sepatutnya tidak membazirkan masa dan tenaga dengan menyiasat tugas seorang wartawan yang adalah tunjang penting demokrasi negara.

“Pihak berkuasa sepatutnya memberi keutamaan sumber manusia, masa dan tenaga terhadap usaha relif banjir dan membanteras jenayah tegar, dan bukannya menyiasat seorang wartawan yang hanya menjalankan tugas beliau,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS