Jemaah yang baru pulang menjalani ibadah umrah boleh memilih untuk menjalani kuaratin di stesen yang diuruskan kerajaan, di mana kosnya akan ditanggung kerajaan.
Perkara itu dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Abd Latiff Ahmad hari ini, susulan kebimbangan para jemaah perlu menanggung kos yang mahal bagi kuarantin di hotel.
Ia memandangkan mereka tidak dibenarkan menjalani kuarantin di rumah.
Abd Latiff berkata, jemaah mempunyai pilihan sama ada untuk berurusan dengan stesen kuarantin swasta atau stesen yang diuruskan kerajaan.
"Bagi penempatan kuarantin yang diurus kerajaan, individu dalam pemantauan (PUS) iaitu jemaah yang negatif ujian saringan Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan akan ditempatkan di hotel atau Pusat Latihan Awam bergantung kepada ketersediaan bilik pada hari ketibaan.
"Bagi pilihan ini, kos urusan kuarantin ditanggung oleh pihak kerajaan termasuk makan, minum serta pengangkutan dari lapangan terbang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada minggu lalu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kerajaan memutuskan untuk meletakkan jemaah umrah yang pulang mulai 3 Jan dikuarantin di hotel terpilih, setelah kegagalan sesetengah individu untuk mematuhi perintah kuarantin dalam rumah hinga menjangkiti ahli keluarga.
Hari ini, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menggesa kerajaan supaya segera menangani isu kuarantin tersebut memandangkan keputusan itu menyebabkan jemaah akan menanggung kos yang tinggi.
Abd Latiff turut menyertakan senarai pusat kuarantin bagi para jemaah, seperti berikut:
Institut Latihan Awam (QS ILA)
- Akept Nilai
- IAB Nilai
- Ilim Bangi
- Isef Bangi
- Ilkap Bangi
- Pulapol KL
Hotel
Negeri Sembilan
- Klana Resort, Seremban
Kuala Lumpur
- Hotel Royal
- Hotel Swiss Garden, Bukit Bintang
- Hotel Ibis, KLCC
- Hotel Furama, Bukit Bintang
- Hotel Mercure Kuala Lumpur Shaw Parade
- Ibis Style KL Fraser Business Park
- Hotel AnCasa
- Hotel Cosmo
- Hotel KIP
- Hotel Arena Star
Selangor
- Hotel Sama-sama
- Hotel Gorsett Grand, Subang
- Hotel Crystall Crown, PJ
- Hotel Sunway Clio
- Hotel Hilton Garden Inn, Puchong
- Hotel Oriental Crystal
- Hotel Summit, USJ
- Hotel Pegasus, Shah Alam