Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mangsa banjir, PMKS perlu suntikan fiskal tambahan - Penganalisis
Diterbitkan:  Jan 4, 2022 4:27 PM
Dikemaskini: 8:27 AM

Bagi membantu mangsa banjir terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), Malaysia perlukan suntikan fiskal tambahan sebagai pelaburan yang perlu bagi masa depan rakyat dan negara, kata seorang penganalisis.

“Tetapi ingat, jangan anggap ini sebagai perbelanjaan tetapi anggap ia sebagai pelaburan,” kata penganalisis ekonomi Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (Inceif) Profesor Madya Bahrom Abdul Hamid.

Beliau percaya kajian menyeluruh mengenai cara-cara bagaimana kerajaan boleh melakukan lebih lagi usaha untuk membantu perniagan mikro dan nano adalah diperlukan.

Menurutnya peruntukan RM30 juta bagi Pinjaman Pemulihan Banjir menerusi Tekun Nasional akan dapat banyak membantu.

Mengenai pinjaman mikro Bank Simpanan Nasional (BSN) bernilai RM33 juta yang telah diluluskan, beliau berkata ia adalah baik tetapi kerajaan perlu mengambil langkah lebih agresif lagi untuk membantu rakyat mencari tempat tinggal terlebih dahulu.

Beliau berkata fokus utama apabila pulih daripada bencana alam adalah reka bentuk dan persediaan tempat untuk tinggal manakala pembiayaan mikro boleh disediakan kemudiannya kelak.

“Kerajaan perlu menyediakan penempatan sementara atau kekal terlebih dahulu kerana mereka yang terjejas tidak mempunyai sebarang sumber ekonomi untuk malahan meneruskan hidup,” katanya pada program The Brief Bernama TV, hari ini.

Menurutnya, bantuan perlu dimulakan dengan kemudahan asas terlebih dahulu seperti rumah, infrastruktur seperti jalan raya dan suntikan tunai sebelum menyediakan bantuan pembiayaan.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sejumlah RM33 juta daripada RM93 juta permohonan pinjaman mikro BSN bagi isi rumah diluluskan sehingga 1 Jan, 2022.

Bantuan pinjaman mikro itu dilancarkan pada 27 Dis, 2021 bagi pemulihan ekonomi pasca banjir.

Bahrom juga berharap rakyat akan bersama-sama berganding bahu membantu antara satu sama lain untuk pulih daripada pandemik dan juga bencana banjir yang menjejaskan pusat aktiviti ekonomi di Malaysia, iaitu Selangor dan Lembah Klang.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS