Pemimpin pembangkang Khalid Samad memohon Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengarahkan tindakan segera terhadap pihak yang menyalahgunakan nama baginda untuk tujuan pembalakan.
Khalid berkata dia yakin Seri Paduka tiada kaitan tetapi nama baginda dipergunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Sehubungan dengan itu, patik dengan suci hati memohon agar Tuanku membersihkan nama baik Tuanku dengan membuat penjelasan serta menjauhkan diri Tuanku dari pihak yang menggunakan nama Tuanku untuk kepentingan diri mereka sendiri,” katanya.
Khalid merujuk video tular pertengkaran seorang lelaki dan seorang Datin berkaitan pembalakan di Pahang.
Dalam video itu, lelaki itu berkata dia akan menghadap Agong untuk menceritakan apa yang berlaku, setelah ditegur oleh wanita itu.
Lelaki itu juga berkata dia seorang kerabat Pahang.
Dalam kenyataan hari ini, Khalid berkata satu kaedah pembalakan lestari dan tidak merosakkan alam sekitar perlu dikuatkuasakan seterusnya.
“Patik yakin Tuanku mengambil berat kesengsaraan rakyat Pahang yang telah terhasil dan akan terus terhasil dari kegiatan terkutuk ini sekiranya diteruskan.
“Oleh itu Tuanku wajar bersuara dan menghentikan kedurjanaan ini dari berterusan,” katanya.
Isu pembalakan hangat dibincangkan selepas banyak kayu-kayu balak muncul selepas banjir besar di negeri itu.