PKR Pahang menggesa kerajaan negeri mengambil tindakan tegas ke atas sesiapa sahaja yang terlibat dalam pembalakan haram.
Ketua Komunikasi PKR Pahang Wan Fauzuldin Wan Samad berkata tindakan mesti diambil tanpa mengira kedudukan dan bukan melindungi “taikun-taikun balak”.
"Kerajaan negeri harus lebih mengutamakan keselamatan rakyat berbanding melindungi taikun-taikun balak yang telah lama menghisap darah rakyat.
"Isu pembalakan sama ada berlesen atau tidak sering kami timbulkan agar aktiviti ini dapat dikawal dan dipandang serius oleh pihak berkuasa.
"Aktiviti pembalakan yang tidak terkawal ini bukan sahaja boleh mencemarkan alam sekitar tetapi turut mendatangkan kesan yang buruk kepada rakyat apabila tiba musim tengkujuh," katanya.
Tambahnya, teguran pembangkang selama ini tidak dipandang serius.
Katanya, seringkali juga kerajaan negeri memberikan jawapan seolah-olah semuanya terkawal.
Menyentuh 'tsunami balak' di Jambatan Sri Telemong, Bentong, Wan Fauzuldin berkata terdapat klip video bagaimana kayu-kayu balak bertaburan dihanyutkan air dan berlonggok di sungai-sungai.
"Paling membimbangkan, kayu-kayu balak ini turut dihanyutkan air sehingga ke rumah kediaman.
"Kami menuntut agar kerajaan negeri melakukan siasatan segera secara lebih telus dan mengambil tindakan tegas ke atas sesiapa sahaja tanpa mengira kedudukan yang terbukti telah melanggar peraturan dan undang-undang dalam aktiviti pembalakan," katanya.
Minggu lalu, aktivis alam sekitar Khaidir Ahmad mendakwa aliran lumpur bercampur balak di Telemong antara 18 dan 19 Dis,2021 disebabkan pembersihan tanah untuk ladang durian haram Musang King.
Ahli parlimen Bentong Wong Tack mendakwa “tsunami balak” melanda kampungnya.
Empat puluh lima NGO dan masyarakat setempat menuntut siasatan bebas dibuat.
Pada 30 Dis 2021, Jabatan Perhutanan Pahang menafikan kayu-kayu balak itu berpunca daripada pembalakan di hutan simpan.
Jabatan itu berkata ia sebenarnya berpunca daripada kejadian kepala air di Sungai Temeriak, Sungai Kerau dan Sungai Timbul pada 18 Dis.