Moratorium ditawarkan kepada usahawan Perusahaan Mikro, Kecil Dan Sederhana (PMKS) yang mendapat pembiayaan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) serta terjejas akibat banjir, kata Menterinya Tan Sri Noh Omar.
“Pemberian moratorium ini selaras dengan iltizam Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang prihatin dengan masalah usahawan PMKS dan mahu supaya sektor ini dipulihkan segera," katanya dalam kenyataan hari ini.
Noh berkata Bank Rakyat memberi penangguhan selama enam bulan kepada mereka yang meminjam melalui pembiayaan Peribadi-i, Perumahan-i, Kenderaan-i, Sewa Beli Kenderaan-i, Pendidikan-i, Mikro-i dan penangguhan bayaran keuntungan bagi Pajak Gadai-i.
Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) pula memberi moratorium kepada usahawan yang terkesan dengan banjir selama enam bulan, bergantung kepada sejauh mana kesan banjir dihadapi oleh usahawan, katanya.
Noh berkata SME Bank memberi pengecualian sewaan selama dua bulan kepada mana-mana penyewa di kompleks perniagaan usahawan SME Bank yang terjejas akibat bencana banjir.
“SME Bank juga menawarkan penjadualan semula kepada semua usahawan terkesan dengan banjir dan menawarkan Dana Pemulihan Bencana dengan jumlah pembiayaan sehingga RM500,000 dengan enam bulan moratorium,” katanya.
SME Corp pula menawarkan tiga pakej pembiayaan iaitu SME Revitalisation Financing (SMERF), Soft Loan Scheme For Small and Medium Enterprise (SLSME) dan SME Emergency Fund (SMEEF) untuk semua PKS terjejas banjir dalam semua sektor ekonomi dan layak untuk membeli peralatan, baik pulih premis perniagaan dan dana modal permulaan perniagaan.
“Pakej-pakej ini diberi moratorium pembayaran balik sehingga enam bulan. Untuk peserta yang menyertai tiga program sedia ada ini juga akan diberikan moratorium sehingga 6 bulan sehingga Jun 2022," kata Noh.
- Bernama