Adun Melalap, Peter Anthony menolak pelawaan untuk menyertai Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan tetap dengan pendiriannya mahu menubuhkan sebuah parti baru.
"Terima kasih atas kepercayaan dan pelawaan itu, tetapi kami sudah tubuhkan parti politik yang akan menjadi landasan untuk kami sama-sama menyumbang kemajuan Sabah.
"Parti baru ini akan diumumkan dalam masa terdekat," katanya seperti dipetik Sinar Harian.
Kata Anthony, dia berharap untuk melihat kesatuan dalam kalangan pemimpin Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR) dalam satu gabungan parti tempatan Sabah dan percaya gabungan itu akan berjaya menarik pengundi seperti di Sarawak.
“Usaha kami sekarang juga adalah permulaan dalam menyatukan semua pemimpin KDMR yang selama ini terpisah dengan fahaman politik masing masing.
"Kami akan terus berbincang dapatkan satu solusi penyatuan bukan sahaja dalam kalangan pemimpin politik KDMR tetapi semua pemimpin Sabah," dia dipetik sebagai berkata.
Anthony keluar daripada Warisan pada 28 Dis dan menyatakan sokongan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang memerintah negeri.
Tahun lalu, Warisan berdepan masalah apabila ramai pemimpinya keluar parti bermula dengan Hassan A Gani Pg Amir (Adun Sebatik), diikuti Yusof Yacob (Adun Sindumin), Mohamaddin Ketapi (ahli parlimen Lahad Datu, Adun Segama) dan Juil Nuatim (Adun Limbahau).
Sekarang, Adun Warisan berkurangan kepada 17 orang dalam DUN Sabah.
Tiga hari lalu, Presiden Star Jeffrey Kitingan menggesa Anthony agar tidak membentuk parti baru kerana sudah terdapat begitu banyak parti di Sabah.