Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Muda akan gugat semua parti, bukan Umno sahaja'

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bukan sekadar memberi cabaran kepada Umno dan BN, malah semua parti politik di Malaysia, menurut penganalisis politik.

Mereka berkata ia antara lain dapat dilihat daripada tarikannya terhadap golongan muda, terutama di tengah musibah banjir yang melanda.

"Muda muncul dalam fenomena yang kita lihat akan menggugat semua parti politik iaitu Undi18 dan dengan pengundi baru yang dia muncul sebelum itu.

"Realitinya orang muda sekarang ini dia dah meluat, dah hilang kepercayaan kepada parti politik yang ada sekarang ini. Bukan saja pada BN, PN tetapi PH pun sama," kata pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani.

Azizuddin mengulas kenyataan Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin bahawa Muda, yang baru-baru ini mendapat kebenaran daripada Mahkamah Tinggi untuk didaftarkan sebagai parti politik, sebagai pesaing serius dalam menarik pengundi muda.

Menurut bekas ketua pemuda Umno itu, ia berdasarkan pengalaman peribadinya, dengan pengundi muda menolak Umno dan BN pada PRU 2018 ekoran isu-isu semasa pada waktu itu.

Menyuarakan sentimen sama, Azizuddin berkata banjir besar yang melanda negara baru-baru ini akan memberi kesan kepada sokongan golongan muda pada PRU akan datang.

"Banjir akan jadi isu besar dalam pilihan raya akan datang kerana apa yang berlaku menunjukkan ada kelemahan dari segi pelaksanaan di peringkat kerajaan.

"Kerajaan hari ini dilihat tidak efektif untuk menyelesaikan isu banjir dan kegagalan ini dilihat akibat daripada kecelaruan dalam kerajaan hingga mengakibatkan arahan tidak dapat sampai ke bawah agar tindakan pantas dapat dilakukan bagi menyelesaikannya.

"(Golongan muda) mungkin akan menyokong pihak yang dilihat lebih giat turun padang dan selesaikan isu masyarakat seperti Muda. Walaupun tidak menyeluruh, tetapi ada usaha yang yang buatkan rakyat menghargai pendekatan mereka," katanya lagi.

Lebih kepada pertembungan dengan PH

Bagaimanapun, Azizuddin berkata Muda akan lebih banyak bersaing dengan PH dari segi menarik sokongan.

Katanya, ia berdasarkan tapak sokongan kedua-dua pihak yang lebih serupa iaitu golongan muda dan kawasan bandar, berbanding Umno yang bertumpu kepada golongan lebih tua dan kawasan luar bandar.

"PH yang menarik pengundi-pengundi muda bandar ini untuk menyokong PH. Jadi, sebenarnya mereka lebih merebut pengundi yang memang dalam sasaran PH, bukannya Umno.

"Umno ini memang dia sasar orang muda juga tetapi lebih kepada orang muda di luar bandar dan pinggir bandar," katanya lagi, sambil berkata Umno tetap sukar untuk menang di kawasan bandar dengan pendekatan sedia ada.

Sementara itu, Prof Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia berpendapat meskipun Muda masih baru namun strategi merapatkan diri dengan kumpulan sasar mereka begitu ketara.

"Mesej yang disampaikan dengan barisan pemimpin yang boleh menjadi contoh serta keupayaan untuk segera bertindak merupakan nilai tambah yang boleh menyaingi proses pengkaderan dan peremajaan parti-parti lain," katanya.

Walaupun semua parti melaksanakan proses "peremajaan", katanya lagi, masih banyak yang terikat dengan amalan lama.

"Bukan Umno saja tetapi hampir semua parti lesu. Adakah kerana kesukaran untuk mendapat jawatan menyebabkan mereka rasa terpinggir?" katanya lagi.

Dalam pada itu, Azizuddin berkata cabaran buat Muda pada masa ini adalah untuk menjadi lebih holistik untuk menarik sokongan pengundi muda di luar bandar dan pinggir bandar.

"Pendekatan dan cara pembawaan politik Muda disukai golongan bandar. Maka mereka akan lebih bertembung dengan PH yang juga menggunakan pendekatan yang sama.

"Jadi kena lebih holistik. Maksudnya kena pergi juga ke luar bandar untuk tarik perhatian agar orang kenal mereka. Baru mereka dilihat sebagai pencabar kepada Umno dan PAS," katanya lagi.

Cabaran paling besar

Muda ditubuhkan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang merupakan bekas menteri belia dan sukan dalam pentadbiran Pakatan Harapan selama 22 bulan.

Dia menubuhkan Muda empat bulan selepas disingkirkan dari Bersatu pada Mei 2020, di saat pemimpin lain yang ditimpa nasib yang sama mengikuti Dr Mahathir Mohamad untuk menubuhkan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Setiausaha Agung Muda Amira Aisya Abdul Aziz berkata parti itu sememangnya bercita-cita untuk menang dalam pilihan raya akan datang dan memberi nafas baru dalam Parlimen Malaysia.

Namun, katanya lagi, cabaran paling besar pada masa ini adalah untuk meyakinkan orang ramai untuk melihat mereka sebagai alternatif.

"Sama ada Umno, PAS atau MCA, semuanya akan menjadi cabaran kepada Muda. Tapi saya yakin dengan politik khidmat dan dasar yang diperjuangkan oleh Muda, ia boleh menunjukkan kesungguhan kami untuk memimpin dan memberikan yang terbaik kepada rakyat.

"Fokus utama Muda bukanlah untuk memburuk-burukkan pihak lawan, tetapi menonjolkan kepimpinan, kesungguhan dan kerja keras kami," katanya.

Tambah Amira, apa yang menambahkan keyakinannya adalah kemunculan Muda telah menyebabkan parti lain, terutamanya Umno, untuk kembali "merakyat" dan mengangkat mereka yang benar-benar jujur berkhidmat sebagai calon.

Amir Abdul Hadi

Pengasas bersama Muda, Amir Abd Hadi pula berkata dia percaya pengundi muda hari ini cmatang untuk membuat keputusan dalam pilihan raya akan datang.

"Mereka tidak akan mengundi sekadar berdasarkan sentimen, tetapi berdasarkan dasar dan apa yang ditawarkan setiap parti. Parti yang datang dengan tawaran dan dasar yang menyentuh kemaslahatan orang muda dan rakyat secara umumnya, pasti akan diberi ruang dan kepercayaan.

"Jadi setiap parti, termasuk Muda, punya peluang untuk menarik sokongan bukan sahaja pengundi muda, tapi semua peringkat umur dan latar belakang," katanya.

Amir berkata Muda mengalu-alukan semua parti untuk meletakkan calon muda dalam pilihan raya akan datang.

"Ini masanya idea-idea baru diketengahkan. Akhirnya umur tidak membawa sebarang makna sekiranya kita masih membawa politik lapuk, bermain sentimen agama dan kaum," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS