Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Doktor kecewa budaya 'politiking' dalam misi bantuan banjir

Seorang doktor meluahkan rasa kecewa dengan tindakan segelintir pihak yang disifatkannya sebagai terlalu banyak 'politiking' semasa misi bantuan banjir.

Katanya, lebih mengecewakan apabila golongan berkenaan bersifat mengambil kesempatan dengan cuba mengintai peluang kerjaya dalam misi bantuan banjir ketika mangsa banjir masih sengsara akibat kehilangan ahli keluarga atau harta benda.

Berkongsi pengalaman membantu mangsa banjir, Dr Sathia Prakash Nadarajan berkata budaya politiking di kalangan mereka sangat mengecewakan.

"Sejak Ahad lalu, saya telah menggerakkan pasukan saya membantu mangsa banjir. Kami telah ke Taman Sri Muda, Hulu Langat, Kuala Selangor, Mentakab dan Karak membantu mangsa banjir membersihkan rumah serta memberikan makanan dan barangan keperluan yang lain.

"Apa yang saya lihat adalah, mereka datang, luangkan sedikit masa, ambil gambar dengan mangsa dan terus beredar.

"Niat mereka adalah, mengambil gambar seberapa banyak yang boleh bersama mangsa untuk membuat posting di media sosial, seolah-olah mereka telah membantu banyak orang. Mereka tidak jujur.

"Kalau nak bantu, bantu lah dengan ikhlas," katanya kepada Malaysiakini.

Selain memberi bantuan barangan, pengasas Kumpulan SP Care itu turut menyediakan perkhidmatan perubatan kepada mangsa banjir yang sakit.

Sementara itu, Dr Sathia Prakash berkata bahawa dia terkejut apabila mendengar segelintir pihak juga mendakwa diri mereka sebagai ahli politik sepenuh masa.

"Saya tidak faham maksud, apa itu ahli politik sepenuh masa. Politik itu adalah memberi perkhidmatan kepada rakyat. Ia bukan satu kerjaya.

"Bagaimana, seorang ahli politik sepenuh masa (bukan wakil rakyat) boleh menyara keluarga sekiranya tiada pendapatan tetap? Apakah sumber pendapatan mereka? Ia datang dari mana?" soalnya.

"Saya rasa ini punca budaya politiking semakin berleluasa di Malaysia di mana 'ahli-ahli politik sepenuh masa' ini menggunakan setiap peluang yang ada untuk memperkukuhkan kedudukannya.

"Rakyat perlu peka dan mengelakkan diri mereka dengan golongan ini," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS