Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata kerajaan akan membebankan generasi akan datang jika sekali lagi memberi kebenaran kepada pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membuat pengeluaran.
Katanya semasa pandemik Covid-19, kerajaan sudah membenarkan pengeluaran sehingga RM71,000 berikutan situasi yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Menurut Tengku Zafrul Putrajaya tidak pernah membenarkan pengeluaran KWSP semasa bencana seperti banjir kerana kerajaan telah menyediakan bantuan dan bantuan tunai.
Kenyataan itu dibuat ketika kerajaan terus didesak untuk membenarkan pengeluaran lanjut daripada KWSP, terutamanya bagi mangsa banjir yang terjejas teruk baru-baru ini.
"Dalam memenangkan kebajikan rakyat, langkah populis yang dicadang sesetengah pihak bukanlah langkah yang tepat.
"Akhirnya, rakyat juga yang akan terkesan pada jangka masa panjang dan anak cucu kita yang dibebani dengan kos menampung warga tua," katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Tengku Zafrul turut mempersoalkan niat pihak yang mendesak penarikan itu atas alasan ia bertujuan membantu masyarakat Melayu.
Meningkat hampir 7 juta
Katanya hampir 50 peratus - atau enam juta - pencarum mempunyai baki caruman kurang daripada RM10,000.
Hal itu bermakna, tambahnya, enam juta pencarum terbabit tidak menerima manfaat pengeluaran tambahan KWSP.
"Sebanyak 74 peratus daripada mereka adalah bumiputera dan lebih membimbangkan, 79 peratus mempunyai (simpanan) kurang daripada RM1,000.
"Jika betul pihak ini ingin memperjuangkan nasib orang Melayu, walaupun maklum ramai yang tidak mempunyai cukup simpanan, apakah niat sebenar memperjuangkan pengeluaran tambahan?" katanya.
Tengku Zafrul berkata seseorang memerlukan RM240,000 untuk membiayai persaraan mereka selama 20 tahun pada kadar RM1,000 sebulan.
Dengan simpanan kurang daripada RM10,000 itu katanya enam juta ahli KWSP itu tidak dapat bersara dengan selamat⠀⠀
"Pengeluaran tambahan akan menjadikan jumlah pencarum dengan simpanan kurang daripada RM10,000 meningkat kepada hampir tujuh juta orang," katanya.
Kebenaran itu jika dibenarkan, tambah Tengku Zafrul, akan memaksa KWSP melupuskan pelaburan, sekali gus mengurangkan dividen ahli.
"Ini akan mewujudkan impak susulan kepada pasaran bon dan saham negara, mengakibatkan keruntuhan keyakinan pelabur dalam dan luar negara," katanya.