story images
story images
mk-logo
Berita
Kerajaan gantung kebenaran kerjakan umrah mulai 8 Jan
Diterbitkan:  Jan 1, 2022 9:47 AM
Dikemaskini: 3:07 AM

Kerajaan menangguhkan sementara kebenaran perjalanan ibadah umrah berkuat kuasa 8 Jan sehingga suatu tarikh yang akan diumumkan kelak, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Menurut Khairy langkah itu diambil susulan penularan varian Omicron Covid-19.

Katanya sejak kumpulan pertama jemaah umrah berlepas ke tanah suci pada 13 Okt lalu sehingga 30 Dis 2021, seramai 1,306 daripada jumlah keseluruhan 11,108 jemaah yang pulang dikesan positif Covid-19.

Setakat semalam, katanya, sebanyak 64 kes varian Omicron dikesan, dengan 63 daripadanya melibatkan pengembara dan satu kes disyaki jangkitan tempatan.

“Daripada 64 kes jangkitan Covid-19 varian Omicron ini, sebanyak 32 kes (50 peratus) dikesan dalam kalangan jemaah umrah,” katanya pada sidang media hari ini.

Tambah Khairy, dari 1 Jan hingga 30 Dis 2020, sebanyak 2,763 kes positif Covid-19 dikesan dalam kalangan pengembara dengan majoritinya dalam kalangan pengembara dari Arab Saudi iaitu 1,446 kes, berbanding 322 kes dari Singapura, Indonesia (264 kes), dan United Kingdom (217 kes).

Daripada jumlah 1,146 kes pengembara dari Arab Saudi, katanya, sebilangan besar - iaitu 1,161 kes - dicatat dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini.

Dalam tempoh sama, kata Khairy, Singapura mencatatkan 13 kes, Indonesia (lapan kes) dan United Kingdom (49 kes).

Penularan jangkitan dalam keluarga

Sehingga 30 Dis, Khairy berkata terdapat sembilan kluster melibatkan jemaah umrah, termasuk lima yang melibatkan kes-kes indeks varian Omicron.

Keputusan penangguhan tersebut, kata ahli parlimen Rembau itu lagi diputuskan dalam Mesyuarat Khas Kuartet yang dipengerusikan Menteri Kanan Pertahanan, Hishammuddin Hussein, dan dipersetujui Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Mesyuarat itu membincangkan cadangan mesyuarat khas yang diadakan pada 31 Dis melibatkan agensi yang terlibat dalam pengurusan umrah, seperti Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar), Kementerian Pengangkutan, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (Papuh).

Bagi jemaah umrah yang pulang ke Malaysia bermula 3 Jan ini - termasuk yang akan berlepas ke Tanah Suci sebelum 8 Jan - mereka dikehendaki menjalani kuarantin wajib di stesen kuarantin atau hotel ditetapkan Nadma.

Mengulas lanjut, kata Khiary, perhimpunan berskala besar melibatkan jemaah pelbagai negara semasa di Arab Saudi menyukarkan mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan, sekali gus mendedahkan mereka kepada risiko jangkitan Covid-19 termasuk varian Omicron.

Jemaah juga, katanya, mungkin dijangkiti ketika berada di Arab Saudi, tetapi menghasilkan keputusan negatif sebelum bertolak pulang kerana masih dalam tempoh inkubasi jangkitan, manakala ketibaan jemaah Malaysia yang ramai - kira-kira 800 ke 1,000 sehari - memburukkan keadaan dan risiko jangkitan.

“Kebanyakan jemaah yang pulang dari mengerjakan umrah telah memohon menjalani kuarantin di rumah atau tempat kediaman sepanjang tempoh tujuh hari kuarantin.

“Namun apabila berlaku tidak kepatuhan kepada SOP ditetapkan, kes-kes positif Covid-19 dalam kalangan jemaah umrah telah menyebabkan berlakunya penularan jangkitan dalam kalangan ahli keluarga,” katanya lagi.

Tambah Khairy, kerajaan akan melakukan penilaian risiko berkala situasi Covid-19 varian Omicron di dalam dan luar negara khususnya di Arab Saudi bagi membuat keputusan untuk membenarkan semula aktiviti umrah.

“Penangguhan sementara aktiviti umrah ini dijangka dapat membantu mengurangkan risiko penularan Omicron dalam negara dan memperlahankan peningkatan kes Covid-19.

“Langkah ini juga diharap dapat memberi peluang dan ruang kepada kerajaan untuk membuat perancangan serta persediaan rapi dalam pengurusan jemaah umrah sebelum aktiviti umrah boleh dibenarkan semula,” katanya lagi. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS