mk-logo
Berita
Ismail Sabri sertai solat hajat, berzikir doa M'sia sejahtera
Diterbitkan:  Dec 31, 2021 10:15 PM
Dikemaskini: 2:15 PM

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menyertai lebih 500 jemaah di Masjid Putra di Putrajaya untuk bersolat hajat dan berzikir bagi mendoakan kesejahteraan negara sempena tahun baru 2022.

Beliau tiba di Masjid Putra kira-kira 7.15 malam, yang kemudiannya diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad sebelum menunaikan solat Maghrib.

Turut serta ialah Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman dan Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Ismail Sabri dalam catatan di Facebook miliknya semalam berkata beliau mengambil keputusan untuk membatalkan sambutan tahun baru dan menggantikannya dengan solat hajat dan doa selamat sebagai tanda menghormati dan bersimpati dengan mangsa banjir di beberapa negeri.

Dalam catatan itu, katanya beliau telah meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) untuk menganjurkan Solat Hajat dan Malaysia Berzikir Ambang 2022 pada 31 Dis di Masjid Putra.

Dalam hantaran itu juga, Ismail Sabri mengajak Keluarga Malaysia untuk bersama-sama menunaikan solat Maghrib berjemaah, solat hajat dan doa selamat di Masjid Putra atau mengikuti siaran secara langsung program berkenaan di kaca televisyen, manakala bagi bukan beragama Islam pula disarankan melakukan sembahyang mengikut kepercayaan dan agama masing-masing.

Solat hajat selepas solat Maghrib diimamkan oleh Imam Besar Masjid Putra Salahuddin Ghozali.

Ia disusuli bacaan zikir istighasah (memohon pertolongan) dan zikir munajat yang dipimpin selebriti Munif Ahmad dan bacaan doa Buatmu Malaysia oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yadim Tuan Kamarul Arief Tuan Soh.

Ismail Sabri meninggalkan Masjid Putra kira-kira 8.30 malam.

Turut diadakan di Masjid Putra adalah Forum Ehwal Islam bertajuk ‘Azam 2022, Masjid di Hati’ yang menampilkan dua panel iaitu mantan Ketua Pengarah Jakim Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz dan mantan Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Ahmad Phesal Talib, serta dikendalikan oleh Ketua Penolong Pengarah Unit Komunikasi Korporat Jakim Zakaria Othman sebagai perantara.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS