Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peguam sahkan plaintif akan rayu keputusan sekolah vernakular

Peguam yang mewakili kumpulan pendidikan Melayu dan Islam mengesahkan anak guamnya akan membuat rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman difailkan mereka mengenai kewujudan sekolah vernakular.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla ketika dihubungi mengesahkan telah dimaklumkan pihak plaintif untuk mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan.

"Buat masa ini kami sedang membuat perincian. Ini kerana kes ini juga melibatkan beberapa plaintif lain dengan kumpulan peguam berbeza.

"Yang pasti, plaintif saya akan membuat rayuan dalam masa terdekat," katanya ketika diminta mengulas keputusan mahkamah tinggi pada Rabu.

Peguam itu mewakili tiga plaintif iaitu Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) yang memohon perintah mahkamah agar sekolah vernakular menghentikan penggunaan bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantar.

Pada 29 Dis lalu, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memutuskan penggunaan bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah tersebut adalah sah di sisi undang-undang.

Justeru, dia memutuskan bahawa kewujudan sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan atas alasan mereka bukanlah satu badan statutori atau pihak berkuasa tempatan yang wajib menggunakan bahasa kebangsaan.Malah kata hakim itu, sekolah vernakular juga dilindungi oleh perlembagaan.

Pada Disember 2019, GPMS, Mappim dan Gapena mencabar kewujudan sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil. Ketiga-tiga plaintif telah menamakan kerajaan dan 13 lagi sebagai defendan.

Antaranya ialah Dong Zong dan Jiao Zong, Persatuan Thamizhar Malaysia, Persatuan Tamilar Thirunaal (Perak) serta empat parti politik iaitu MIC, MCA, Gerakan dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia.

Mereka memohon untuk mendapatkan perisytiharan bahawa seksyen 2,17 dan 28 dalam Akta Pendidikan 1996 yang membenarkan penggunaan dua bahasa terbabit di sekolah vernakular adalah bercanggah dengan peruntukan 152(1)(a) perlembagaan.

Mereka juga memohon perisytiharan kewujudan dan penubuhan sekolah terbabit bertentangan dengan perlembagaan.

Perkara 152 (1)(a) menyatakan bahasa kebangsaan adalah bahasa Melayu dan tiada sesiapa yang boleh dilarang menggunakan (selain bagi maksud rasmi) atau daripada mengajar atau belajar bahasa lain.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS