Paling Popular
Terkini

ULASAN | Pada tahun 1945, George Orwell menulis sebuah novel alegori bertajuk Animal Farm (Ladang Binatang). Novel ini adalah kritik ke atas pemerintahan diktator komunis Stalin di Rusia yang menghancurkan kemanusiaan. Sehingga hari ini, novel ini merupakan antara 20 novel terbaik dunia.

Ladang Binatang menceritakan kisah dua ekor babi yang bernama Snowball dan Napoleon. Pada awalnya, mereka bekerjasama erat untuk mensejahterakan warga ladang binatang. Slogan mereka adalah kesetaraan berbunyi “All animals are equal.”

Untuk membangunkan warga ladang binatang, mereka membangunkan kincir angin. Projek ini berjaya memakmurkan warga ladang binatang, tetapi sayang, kejayaan ini menjadikan mereka ketua babi yang tamak dan sombong. Mereka melihat status mereka tidak lagi sama dengan binatang-binatang lainnya.

Apabila ditentang oleh masyarakat binatang, mereka mencipta pula slogan baharu, iaitu “All animals are equal, but some animals are more equal than others.”

Setelah berjaya membodohkan binatang lainnya, babi Snowball dan Napoleon mula berebut kuasa. Mereka bercakaran apabila Snowball berjaya menewaskan Napoleon dalam satu pemilihan.

Setelah kekalahannya, Napoleon mula menakutkan babi Snowball dengan menggunakan beberapa ekor anjing yang setia dengannya. Babi Napoleon juga memberitahu warga binatang lain bahawa rancangan membina kincir angin itu adalah ideanya.

Apabila kincir angin musnah akibat ribut petir, babi Napoleon menyalahkan Snowball kerana mensabotajnya. Salah menyalah berterusan di kalangan kelompok yang menyokong babi Napoleon dan babi Snowball.

Watak-watak binatang dalam novel itu digambarkan persis watak-watak manusia politik di negara kita sekarang—yang mabuk dengan kemasyhuran dan kekuasaan.

Justeru kekuasaan, politik wang dan lompat parti berlaku. Justeru kekuasaan, Langkah Sheraton berlaku. Justeru kekuasaan, parlimen digantung dan hak demokrasi rakyat dimandulkan. Justeru kekuasaan, DUN Melaka dan Sarawak dibubarkan di zaman kita menghadapi pandemik ini.

Tidak mengapalah jika pemimpin mahukan kuasa. Berkuasa dan memerintahlah, tetapi biarlah cekap dan cepat dalam menyelesaikan masalah rakyat.

Dalam rakyat payah menghadapi bencana banjir, elakkan dari memberi kenyataan yang membodohkan diri sendiri. Elakkan juga diri dari membuat drama sendiri.

Tidak ikhlas jika membantu rakyat sekadar berlakon di hadapan kamera.

Banjir Disember 2021 menunjukkan betapa pentingnya kita mempunyai ketua yang hebat dan jabatan kerajaan yang saling berkoordinasi.

Semoga Tahun 2022, kelemahan tahun ini dan sebelumnya tidak berlaku lagi. Persaingan politiknya jangan jadi seperti dalam novel Ladang Binatang. Jangan kerana kekuasaan, rakyat yang terpuruk.


PROF DR MOHAMMAD AGUS YUSOFF ialah seorang penganalisis politik dan pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS