Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muda pesaing serius Umno untuk tarik pengundi muda - Khairy
Diterbitkan:  Dec 31, 2021 10:05 AM
Dikemaskini: 2:06 AM

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin melihat parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), yang baru-baru ini mendapat kebenaran daripada Mahkamah Tinggi untuk didaftarkan sebagai sebuah parti politik, sebagai pesaing serius dalam menarik pengundi muda.

Bekas ketua pemuda Umno itu berkata demikian berdasarkan pengalaman peribadinya, memandangkan pada pilihan raya umum (PRU) lepas, katanya, pengundi muda tidak menyokong BN dan Umno ekoran isu-isu semasa pada waktu itu.

“Kita nak elakkan benda ini daripada berulang kali kedua (dalam PRU15),” katanya dalam program temu bual ‘Dilema Covid & Politik' yang disiarkan secara langsung semalam.

“Undi18 ini adalah fenomena yang sangat serius dan perlu dipandang serius dengan Umno, terutamanya sayap-sayap muda: Pemuda, Puteri dan sebagainya.

“Sekarang ada parti ditubuhkan khusus untuk orang muda yang baru didaftar, Parti Muda, ini akan memberikan saingan kepada kita yang serius dalam kalangan (pengundi) 18 hingga 30 tahun.

“Kita simpul di situ, Pemuda dan Puteri sudah pasti (harus) mendampingi mereka, cari ikon-ikon untuk dinaikkan sebagai bakal calon,” kata Khairy.

Undi18 merujuk penurunan usia mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

Muda ditubuhkan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang merupakan bekas menteri belia dan sukan dalam pentadbiran Pakatan Harapan selama 22 bulan.

Setelah disingkirkan dari Bersatu pada Mei 2020, Syed Saddiq menubuhkan Muda empat bulan kemudian.

“Saya nampak kita mesti serius ke arah itu. Dulu, kita minta ramai calon muda, tapi tak dapat sepertimana yang kita harapkan.

“Saya lihat itu mungkin kelemahan kita (dalam Umno), tak cukup ikon-ikon muda. Kita ada (ahli parlimen Paya Besar) Mohd Shahar Abdullah dan (ketua penerangan Umno) Shahril Hamdan. Kita ada itu sajalah, yang saya ingat,” katanya lagi.

“Saya lihat perkembangan positif di (pilihan raya negeri) Melaka … calon-calon muda diketengahkan dan mereka ini telah menerima sokongan padu daripada rakyat,” katanya.

Dia kemudiannya merujuk Muhamad Akmal Saleh, 33, yang memenangi pertembungan tiga penjuru di Merlimau dengan majoriti 3,248 undi.

Tambahnya, Umno harus menampilkan lebih ramai ahli politik muda dalam PRU yang akan datang. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS