Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Belum dapat janji temu dos penggalak? Ini cara daftar senarai menunggu
Diterbitkan:  Dec 30, 2021 10:12 PM
Dikemaskini: 2:12 PM

ProtectHealth Corp menasihatkan orang ramai yang layak menerima dos penggalak tetapi masih belum mendapat temu janji, untuk mendaftar dalam senarai menunggu di pusat pemberian vaksin (PPV) yang berdekatan dengan mereka.

Kenyataan itu berikutan langkah Kementerian Kesihatan memendekkan tempoh menunggu dos penggalak bagi penerima vaksin Pfizer, Moderna dan AstraZeneca. 

Sela masa dos penggalak hanya tiga bulan selepas menerima dos kedua, berbanding enam bulan sebelum ini.

Ini susulan daripada penyebaran varian Covid-19 yang terbaru - Omicron. Terdapat banyak bukti yang menunjukkan dos vaksin sedia ada tidak cukup untuk memberi perlindungan terhadap varian baru itu.

“ProtectHealth menasihatkan mereka yang layak dan belum menerima janji temu dari MySejahtera, mereka boleh mendaftar dalam senarai menunggu di PPV pilihan mereka,” kata ProtectHealth hari ini, yang dimiliki oleh Kementerian Kesihatan dengan penglibatan sektor swasta dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Malaysia (Pick).

Suntikan dos penggalak diberikan secara percuma. Janji temu dimaklumkan melalui MySejahtera kepada mereka yang layak, dengan keutamaan diberikan kepada populasi tertentu seperti warga emas dan individu yang mempunyai penyakit komorbiditi.

Sekiranya individu membatalkan janji temu mereka atau tidak hadir pada janji temu tersebut, mereka yang berada dalam senarai menunggu kemungkinan akan ditawarkan untuk menerima dos penggalak tersebut.

Mereka yang telah mendapat temu janji tidak perlu mendaftarkan diri mereka dalam senarai menunggu untuk dos penggalak.

ProtectHealth telah menggariskan langkah-langkah untuk mendaftar ke senarai menunggu, yang mana ia tidak berubah sejak sistem senarai menunggu dilaksanakan mulai 22 Nov:

  1. Pergi ke senarai pusat vaksinasi ProtectHealth di pautan di sini: 
  2. Cari PPV yang bersesuaian dengan anda dalam senarai tersebut. Senarai itu akan dikemaskini dari masa ke semasa.
  3. Hubungi melalui telefon, e-mel atau hadir sendiri di PPV pilihan anda untuk mendaftar. Anda dinasihatkan untuk mendaftar di satu PPV sahaja bagi mengelakkan janji temu dibuat sebanyak dua kali.
  4. Selepas anda berjaya mendaftar, PPV akan menghubungi anda sekiranya terdapat individu yang tidak hadir atau membatalkan janji temu mereka.
  5. Pergi ke PPV seperti yang diarahkan untuk mendapatkan dos penggalak anda.

ProtectHealth berkata terdapat 1,951 kemudahan kesihatan swasta yang beroperasi sebagai PPV, terdiri daripada klinik, hospital dan pusat penjagaan ambulatori.

Selain itu, terdapat 76 PPV luar di bawah ProtectHealth yang masing-masing mampu mengendalikan 500 hingga 3,000 dos penggalak setiap hari, dan 72 PPV.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS