Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Majlis Syura Ulama PAS pertegas kerjasama MN, PN hadapi PRU15
Diterbitkan:  Dec 30, 2021 8:10 PM
Dikemaskini: 3:27 PM

Majlis Syura Ulama PAS menegaskan kepentingan untuk memperkasakan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

Mursyidul Am Pas Hashim Jasin berkata langkah itu sebagai usaha menyatukan kuasa politik umat Islam demi maslahah terbaik buat Islam dan negara.

"Perundingan kerusi antara parti-parti Melayu-Islam perlu dilaksanakan semaksimanya bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dan bagi mendapat kemenangan dengan majoriti besar," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu badan tertinggi PAS itu mengadakan muzakarah yang berlangsung semalam bagi membincangkan hala tuju taawun siyasi dan misi PAS bagi PRU15.

Sebagai rekod PAS sebelum ini mewujudkan kerjasama dengan Umno melalui MN dan menyertai PN yang diterajui Bersatu yang membentuk kerajaan selepas tumbangnya kerajaan PH.

Bagaimanapun, Umno dalam perhimpunan agung tahunan sebelum ini membuat keputusan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu.

Pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka baru-baru ini, Umno bersendirian menentang PN dan PH sekali gus berjaya menguasai negeri itu.

Sementara itu, Hashim berkata semangat taawun siyasi dalam MN dan PN juga hendaklah sentiasa disuburkan oleh pimpinan dan ahli parti-parti politik Melayu-Islam dengan pertemuan bersemuka serta bermusyawarah secara berterusan.

"Masing-masing hendaklah sentiasa berlapang dada, saling memaafkan dan mengelak dari menjadikan media terbuka termasuk media sosial sebagai medium perantaraan bagi menyelesaikan krisis dan pertikaian," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS