Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ubat musnah, hanyut: Hidayah beri bekalan baru, rawatan percuma
Diterbitkan:  Dec 30, 2021 5:14 PM
Dikemaskini: 10:04 AM

Menyedari ubat-ubatan merupakan antara barangan penting dan kemungkinan dihanyut air banjir, sekumpulan pengamal perubatan swasta mengambil langkah memberi bantuan dengan menyalurkan sumbangan ubat-ubatan kepada mangsa-mangsa banjir.

Pengarah Hidayah Medic Sdn Bhd Dr Ahmad Abdul Wahid dan 15 anggota pasukannya sanggup berulang alik dari Melaka ke Selangor bagi menyantuni mangsa yang terkesan dan menyumbang ubat-ubatan secara percuma di kawasan terjejas sekitar negeri itu.

"Apabila banjir melanda, kesihatan menjadi soal kedua berbanding menyelamatkan harta benda, ubat-ubatan juga tidak sempat diselamatkan. Sejak empat hari lalu, saya dan pasukan melawat keluarga terkesan akibat banjir dengan menawarkan secara percuma ubat-ubatan seperti ubat kencing manis, darah tinggi, kolesterol dan asma," katanya kepada pemberita di Masjid Sultan Hisamuddin Alam Shah di Pekan Batu 14, di Hulu Langat hari ini.

Beliau berkata bantuan itu juga diberi apabila menyedari kemudahan kesihatan yang ditutup berikutan turut terjejas banjir yang tidak memungkinkan mereka yang terkesan untuk mendapatkan semula ubat-ubatan mereka sedangkan ia perlu dimakan secara berjadual setiap hari.

Justeru pihaknya memberi sumbangan ubat-ubatan sementara mereka boleh mendapatkan bekalan dari fasiliti kesihatan seperti biasa.

Dr Ahmad berkata selain penyakit biasa, jangkitan penyakit bawaan air seperti penyakit kulit juga banyak berlaku dalam kalangan mangsa banjir dan pasukannya juga menyumbang ubat-ubatan bagi penyakit itu.

Selain turun padang, pasukannya turut membuka kaunter pemeriksaan perubatan percuma di kawasan Hulu Langat.

"Inilah antara amal jariah yang kami mampu sumbangkan kepada mangsa terjejas, kami harap serba sedikit dapat meringankan beban mangsa dalam masa sama memastikan kesihatan mereka berada dalam keadaan baik," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS