Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP PAS digesa panggil mesyuarat JPK Parlimen bincang isu Azam
Diterbitkan:  Dec 30, 2021 10:00 AM
Dikemaskini: 2:00 AM

Ahli Parlimen PAS yang mewakili Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman, digesa segera mengadakan pertemuan untuk jawatankuasa pilihan khas parlimen (JPK) bagi membincangkan tuduhan yang dibuat ke atas pemimpin tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.

Menurut gesaan bersama dibuat YB Khoo Poay Tiong dan Chan Foong Hin, Abdul Latiff perlu bertindak begitu atas kapasitinya sebagai pengerusi JPK berkaitan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri.

"Kami mencadangkan pengerusi jawatankuasa tersebut untuk memanggil mesyuarat JPK pada minggu hadapan untuk menyoal siasat Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkaitan dengan tuduhan terhadapnya," kata mereka dalam kenyataan hari ini.

Khoo merupakan ahli parlimen Kota Melaka, manakala Chan mewakili Kota Kinabalu.

Azam kini berdepan dakwaan memiliki dua juta saham syarikat awam yang disenaraikan di Bursa Malaysia. Usaha mendapatkan komen Azam berhubung dakwaan tersebut setakat ini belum membuahkan hasil.

Isu berkenaan semakin menarik perhatian ramai apabila salah seorang ahli panel perunding SPRM, Edmund Terence Gomez, meletakkan jawatan pada 28 Dis lalu dengan alasan pengerusi panel berkenaan, Borhan Dolah, gagal mengambil tindakan terhadap dakwaan berkenaan.

Semalam Borhan mengingatkan Gomez agar ahli akademik itu tidak memperalatkan panel berkenaan untuk "agenda politik" dan menegaskan tindakan sepatutnya diambil oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam jika ada aduan lengkap dikemukakan. 

Kata Khoo dan Chan mereka berharap cadangan yang dikemukakan itu dapat disambut baik oleh kesemua tujuh anggota JPK berkenaan.

Tujuh ahli parlimen terbabit ialah Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak), Mohd Nizar Zakaria (Parit), Anyi Ngau (Baram), Shaharizukirnain Abd Kadir (Setiu), William Leong (Selayang) dan Mohd Azis Jamman (Sepanggar).

Dengan adanya mesyuarat JPK tersebut, kata Khoo dan Chan, diharap badan berkenaan dapat menyediakan laporan siasatan beserta cadangan penambahbaikan yang boleh dibentangkan pada hari pertama mesyuarat pertama sesi kelima Parlimen yang akan bermula pada 28 Feb tahun depan.

"Kami memandang serius terhadap isu tersebut dan bersetuju dengan kenyataan Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang, bahawa berlaku defisit kepercayaan terhadap kerajaan dan SPRM yang menurun ke tahap yang tidak pernah berlaku sebelum ini," kata mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS