Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemandu Alza bawa 3 kanak-kanak secara berbahaya ditahan

Polis menahan seorang wanita semalam bagi membantu siasatan mengenai video tular di media sosial memaparkan sebuah kereta Perodua Alza membawa tiga kanak-kanak secara berbahaya.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata wanita berusia 34 tahun itu merupakan pemandu kereta tersebut.

Katanya wanita terbabit dipercayai membawa ketiga-tiga kanak-kanak berkenaan dengan mengeluarkan separuh badan mereka di bahagian penumpang hadapan dan belakang dalam keadaan kenderaan sedang bergerak.

Mohd Zaid berkata tingkah laku itu merupakan tindakan yang amat berbahaya dan boleh mendatangkan kemalangan serta membahayakan nyawa atau keselamatan diri dan orang lain.

Katanya wanita itu disiasat mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain.

Jika disabitkan bersalah, dia boleh dihukum penjara selama tempoh tiga bulan atau denda hingga RM500 atau kedua-duanya sekali.

“Orang ramai diminta supaya sentiasa memastikan keselamatan kanak-kanak dikawal serta dipantau oleh orang dewasa.

“Sebarang maklumat mengenai kejadian ini boleh menghubungi pegawai penyiasat Insp Ahmad Rahmat Adnan di talian 014-5156933 atau balai polis berdekatan,” katanya.

Semalam, satu video tular menerusi media sosial yang memaparkan sebuah kereta Perodua Alza dipandu secara berbahaya dengan membiarkan tiga kanak-kanak mengeluarkan badan mereka ketika kenderaan sedang bergerak.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS