Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) akan mengadakan jelajah di seluruh negara bersama pakar-pakar dan masyarakat selepas negara pulih dari pandemik Covid-19, kata Presiden Penajanya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Ketika sidang media pengumuman kelulusan pendaftaran parti itu, Syed Saddiq berkata tujuan jelajah itu dilakukan untuk mendapatkan pandangan orang ramai sebelum merangka dasar-dasar iaitu dasar partinya dan juga dasar kerajaan.
“Bukan sekadar sesi dialog soal jawab tapi sesi di mana kita turun di gerai-gerai, warung-warung, kopitiam-kopitiam, kita adakan sesi kecil-kecilan, besar-besaran bersama pakar-pakar untuk mendengar sebelum kita merangka dasar-dasar inklusif, dasar-dasar pembangunan yang baru.
“Supaya akhirnya Malaysia diiktiraf sebagai negara maju dan kita perlu pastikan sistem pendidikan kita adalah yang berkualiti tinggi bertaraf dunia.
“Kita perlu pastikan pelaburan berkualiti dan berimpak tinggi dapat dibawa masuk ke Malaysia, ciptakan peluang pekerjaan yang berkualiti tinggi dan pastikan sistem ekonomi mengagihkan kekayaan negara dengan secara lebih adil melalui sistem percukaian yang adil, yang tak hanya mengkayakan golongan elit dan kroni semata-mata,” katanya pada sidang media dalam talian hari ini.
Terdahulu, ahli Parlimen Muar itu berkata parti tersebut telah mendapat kelulusan pendaftaran secara rasmi dari Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) pada 23 Disember lalu.
Menurutnya, setakat ini parti itu telah menerima lebih daripada 60,000 keahlian dari pelbagai latar belakang dan peringkat umur.