Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ibu lahirkan anak luar negara dapat daftar kewarganegaraan anak
Diterbitkan:  Dec 29, 2021 2:17 PM
Dikemaskini: 8:38 AM

Sekumpulan ibu warga Malaysia -- yang anak-anaknya sebelum ini dinafikan kewarganegaraan kerana dilahirkan di luar negara dengan bapa warga asing - melawat ibu pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pagi ini di mana mereka akhirnya berjaya memulakan proses mendapatkan sijil pengesahan kewarganegaraan anak-anak itu.

Ini berlaku selepas Mahkamah Rayuan menolak permohonan kerajaan persekutuan untuk menangguhkan keputusan mahkamah rendah bahawa ibu Malaysia mempunyai hak untuk memberikan kewarganegaraan kepada anak yang dilahirkan di luar negara.

Presiden Family Frontiers Suri Kempe dalam satu kenyataan menyifatkan perjalanan pagi ini sebagai satu peristiwa yang "memberikan nafas" bagi keputusan mahkamah.

"Ini adalah hari yang menggembirakan - selepas Mahkamah Rayuan menolak permohonan penangguhan oleh kerajaan dan memerintahkan kerajaan mengeluarkan dokumen kewarganegaraan bagi anak-anak ibu warganegara Malaysia yang dilahirkan di luar negara, lawatan hari ini ke JPN memberi nafas kepada keputusan itu, dan mengesahkan bahawa rakyat Malaysia wanita mempunyai hak yang sama untuk memberikan kewarganegaraan kepada anak-anak mereka.

“Ibu dan anak mereka masuk, dan pegawai JPN dengan pantas dan cekap memudahkan proses mendapatkan sijil pengesahan kewarganegaraan mereka, yang akan dikeluarkan dalam tempoh tiga bulan.

"Kemudian, anak-anak mereka akhirnya akan diiktiraf sebagai warganegara Malaysia, dan ibu-ibu boleh menggunakan sijil pengesahan kewarganegaraan untuk mendapatkan kad pengenalan anak-anak," katanya.

Suri Kempe

Menurut Suri, perintah mahkamah itu terpakai kepada semua ibu yang turut terjejas, dan mereka kini boleh pergi ke pejabat JPN terdekat untuk mendapatkan kad pengenalan Malaysia untuk anak mereka.

Dia berkata JPN telah memaklumkan Family Frontiers bahawa mereka akan mengeluarkan SOP kepada semua pejabatnya di seluruh negara serta Kedutaan Besar Malaysia dan Suruhanjaya Tinggi di seluruh dunia untuk membolehkan ibu Malaysia di luar negara mendapatkan dokumen berkaitan kewarganegaraan anak mereka.

Sebelum ini, kerajaan telah menafikan ibu-ibu Malaysia daripada memberikan kerakyatan kepada anak-anak mereka yang dilahirkan di luar negara pada masa sama membenarkan bapa berbuat demikian. Ini bermakna wanita Malaysia yang berkahwin dengan pasangan bukan warganegara Malaysia tidak boleh menurunkan kewarganegaraannya kepada anak sekiranya anak tersebut lahir di luar Malaysia.

Pada 9 Sept lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan bahawa kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara kepada ibu warganegara Malaysia dan bapa warga asing secara automatik berhak mendapat kerakyatan Malaysia.

Kerajaan telah memfailkan rayuan terhadap keputusan itu, dan memohon penangguhan keputusan Mahkamah Tinggi.

Dalam kenyataan Suri, Family Frontiers juga mengulangi gesaannya agar Putrajaya menarik balik rayuan itu, yang mereka sifatkan sebagai sesuatu yang "tidak mempunyai belas kasihan terhadap wanita Malaysia dan anak-anak mereka".


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS