Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
JAS luluskan rancangan bina PDF Lynas di Gebeng
Diterbitkan:  Dec 29, 2021 1:52 PM
Dikemaskini: 5:52 AM

Jabatan Alam Sekitar (JAS) meluluskan permohonan syarikat yang dikaitkan dengan kerabat raja untuk membina kemudahan pelupusan tetap (PDF) Lynas di Kawasan Perindustrian Gebeng di Kuantan.

Menurut kemas kini pada laman web penilaian kesan alam sekitar (EIA) jabatan itu, status laporan projek yang dicadangkan telah "diluluskan".

Laporan EIA disediakan oleh Dr Nik & Associates Sdn Bhd manakala Gading Senggara Sdn Bhd (GSSB) adalah penyokong projek.

Menurut rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah merupakan pemegang saham terbesar GSSB dengan 50 peratus kepentingan.

Tengku Hassanal, 26, adalah putera Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Dua lagi pemegang saham ialah Naib Ketua Umno Bentong Johari Harun dan Mohd Firdaus Redzuan.

Seorang pegawai JAS mengesahkan bahawa jabatan itu telah meluluskan laporan EIA semalam (28 Dis).

 

Dia memberitahu Malaysiakini bahawa laporan itu memenuhi keperluan di bawah Seksyen 34A(2C) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, dan jabatan itu meluluskan laporan itu di bawah Seksyen 34A(3).

Seksyen 34A (2) akta tersebut menyatakan bahawa laporan EIA "hendaklah mengandungi penilaian tentang kesan aktiviti tersebut akan mempunyai atau berkemungkinan mempunyai kesan alam sekitar" dan "langkah yang dicadangkan yang akan diambil untuk mencegah, mengurangkan atau mengawal kesan buruk kepada alam sekitar".

Seksyen 34A(3) menyatakan bahawa jika "ketua pengarah JAS berpendapat bahawa laporan itu memenuhi keperluan, dia hendaklah meluluskan laporan itu".

Rancangan Lynas untuk membina PDF di Hutan Simpan Bukit Ketam berdepan halangan berikutan penolakan JAS terhadap projek itu pada April tahun ini.

Syarikat perlombongan Australia itu kemudiannya meminta kelulusan untuk membina PDF di lokasi lain, yang terletak di Kawasan Perindustrian Gebeng, di Lot 31375, yang terletak bersebelahan dengan Lynas Advanced Materials Plant (Lamp).

Penilaian impak radiologi (RIA) di kawasan itu mendapati tahap radiasi sungai, air bawah tanah dan ikan melebihi parameter dan dianggap tercemar.

Laporan EIA projek itu menyatakan bahawa projek PDF tidak akan menimbulkan risiko banjir atau membawa kepada pencemaran air bawah tanah dan Sungai Baluk - sungai yang paling hampir dengan tapak itu - melainkan jika senario terburuk berlaku, contohnya, "peristiwa hujan melampau" .

Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh menegaskan bahawa mengikut Rancangan Tempatan Daerah Kuantan 2035 (Penggantian), klasifikasi tanah industri berat di Kuantan tidak termasuk tapak pelupusan sisa radioaktif.

Fuziah juga menegaskan bahawa GSSB tidak mengemukakan cadangan projek untuk PDF di Gebeng kepada Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) dan telah melanggar keperluan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS