Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penyeludup tinggalkan 593 botol cecair vape di tebing Sg Golok
Diterbitkan:  Dec 29, 2021 11:15 AM
Dikemaskini: 3:25 AM

Cubaan sekumpulan lelaki disyaki cuba menyeludup sejumlah 593 botol cecair vape bernilai RM50,495 berjaya dipatahkan Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) dalam kejadian di pangkalan haram Lubok Gong, Rantau Panjang, Kelantan, awal pagi tadi.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA Superintendan Azhari Nusi berkata dalam kejadian sekitar jam 4.30 pagi itu anggotanya sedang melakukaan rondaan sebulum terserempak sekumpulan lelaki sedang memunggah kotak dari tebing sungai ke dalam perahu.

Menurutnya, sebaik anggota PGA mendekati kumpulan itu mereka bertindak melarikan diri ke negara jiran dengan menggunakan perahu menyeberangi Sungai Golok.

"Anggota kemudian membuat pemeriksaan pada kotak-kotak yang ditinggal dan didapati mengandungi pelbagai jenis cecair vape disyaki untuk seludup ke negara jiran.

"Kesemua barangan tersebut dirampas dan dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang bagi tujuan laporan sebelum diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada media, hari ini.

Azhari berkata, suspek menggunakan modus operandi dengan menyimpan stok cecair vape di lokasi transit berhampiran pangkalan haram dan memastikan situasi bebas daripada pihak berkuasa sebelum diseludup.

Katanya, permintaan tinggi terhadap cecair vape di negara itu disyaki mendorong kegiataan itu selain nilai pasaran yang lebih mahal berbanding di Malaysia.

"Kita juga difahamkan, Thailand adalah sebuah negara yang mengharamkan penggunaan vape di negaranya, justeru mereka juga memilih cara menyeludup masuk secara haram untuk mendapatkan bekalan.

"Penyeludup sanggup berdepan risiko dan peluang untuk membawa masuk cecair vape secara haram, namun pihak kami perlu terus peka mengenal pasti taktik mereka agar kegiatan seumpama ini dapat dipatahkan," katanya.

Tambah Azhari, kes disiasat mengikut Seksyen 13 (a) Akta Racun 1952.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS