Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sela masa dos penggalak Pfizer, AstraZeneca dipendekkan ke 3 bulan
Diterbitkan:  Dec 28, 2021 5:49 PM
Dikemaskini: Dec 29, 2021 2:26 AM

Sela masa bagi penerima vaksin primer Pfizer dan AstraZeneca Covid-19 akan dipendekkan kepada tiga bulan berbanding enam bulan sebelum ini, umum Kementerian Kesihatan hari ini, dalam langkah yang akan menyaksikan lebih ramai orang layak menerima suntikan penggalak bagi berdepan dengan kebangkitan gelombang Omicron yang sedang melanda negara.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kerajaan sedang meningkatkan pemberian suntikan dos penggalak dan akan mewujudkan semula pusat pemberian vaksin mega. Kebanyakan masyarakat dewasa Malaysia layak untuk suntikan penggalak dijangka menerima vaksin itu pada Januari dan Februari akan datang.

“Kita akan memberi temu janji kepada mereka yang layak berdasarkan keutamaan-keutamaan termasuklah mengikut turutan umur age deescalation, dan juga mengambil kira status kesihatan.

“Keutamaan diberikan kepada mereka yang ada komorbiditi dan sebagainya,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Menurutnya, keutamaan dos penggalak diberikan kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas dan mereka yang mempunyai penyakit kronik.

“Ia kemudian diberikan kepada individu bermula daripada 50 tahun ke atas, 40 tahun ke atas, dan seterusnya 18 tahun ke atas.

"Kita akan buka lebih banyak pusat pemberian vaksin (PPV) dan klinik kesihatan swasta bagi pemberian dos penggalak ini sama seperti Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebelum ini,” katanya.

Khairy berkata, hasil dapatan dan kajian klinikal mendapati tahap keberkesanan dos penggalak terhadap jangkitan Covid-19 adalah berkurangan dengan masa.

Menurutnya, ia dibuktikan menerusi hasil kajian oleh The Real-World Evaluation of Covid-19 Vaccines Under the Malaysia National Covid-19 Immunisation Programme (RECoVaM).

“Data terkini menunjukkan varian Omicron boleh menyebabkan peningkatan penularan jangkitan, kebolehupayaan pengikatan virus yang lebih tinggi dan kelolosan antibodi yang lebih tinggi daripada imuniti yang disebabkan oleh vaksin atau jangkitan semula jadi.

“Selain itu, bukti kukuh yang terkumpul sejak tiga minggu lalu menunjukkan vaksin penggalak berkemungkinan meningkatkan perlindungan terhadap jangkitan varian Omicron,” katanya.

Katanya, hasil kajian awal melibatkan 21 juta pemberian dos penggalak yang dijalankan di United Kingdom juga menunjukkan data keselamatan yang amat meyakinkan.

Justeru, kata beliau, badan Regulatori seperti di United Kingdom, Kanada dan Australia serta panel pakar kesihatan kini mengesyorkan sela masa bagi vaksinasi dos penggalak boleh diberi seawal tiga bulan selepas menerima vaksin utama. 

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama memetik Khairy sebagai berkata, KKM mengutamakan penggunaan vaksin Pfizer dan AstraZeneca sebagai dos penggalak kerana keberkesanan kedua-dua jenis vaksin adalah tinggi berbanding Sinovac.

Katanya, pemberian vaksin Sinovac akan diberikan kepada individu yang mempunyai kontraindikasi atau alahan dan atas sebab kesihatan disyorkan doktor maka pemberian vaksin akan diberi melalui PICK atau memilih melalui pasaran swasta.

"Saranan KKM pilihan pertama ialah Pfizer dan pilihan kedua AstraZeneca. Sinovac hanya diberi sekiranya anda mempunyai kontraindikasi terhadap Pfizer dan AstraZeneca,” katanya.

Khairy berkata Sarawak sebagai negeri peneraju yang memulakan dos penggalak pada 13 Okt lepas menunjukkan trend penurunan sejak dua bulan yang lepas dari segi bilangan kes harian, kemasukan hospital, kes yang memerlukan rawatan rapi dan juga kematian.

Menurutnya, sejak minggu epidemiologi (ME) ke-48, bilangan kes yang dilaporkan adalah kurang daripada 1,000 seminggu iaitu 776 kes pada ME ke-48 kepada 208 kes pada ME ke-52.

Selain itu, katanya angka kematian yang disebabkan Covid-19 juga menunjukkan penurunan daripada 497 kes pada Oktober lalu kepada 24 kes bagi bulan Disember setakat hari ini.

Sehingga semalam, liputan dos penggalak di Sarawak adalah 73.54 peratus.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS