Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dua ditembak mati, geng Adik Mat ditumpaskan polis Kelantan

Polis Kelantan berjaya menumpaskan kumpulan Adik Mat yang aktif dalam kegiatan samun bersenjata api selepas menembak mati dua suspek di Gua Musang, semalam.

Seorang daripada yang terbunuh dalam kejadian di kawasan kebun getah di Kampung Batu Papan itu dipercayai ketua kumpulan berkenaan.

Ketua Polis Kelantan CP Shafien Mamat berkata dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu sekumpulan pegawai dan anggota cawangan D9 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dibantu anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang menyerbu sebuah pondok yang menjadi tempat persembunyian dua lelaki tersebut.

"Sebaik pihak polis memperkenalkan diri, kedua-dua suspek bertindak melarikan diri sambil membawa dua buah beg berwarna hitam dan merah jambu.

"Ketika pasukan polis mengejar, kedua-dua suspek bertindak melepaskan beberapa das tembakan ke arah pihak polis sebelum kedua-dua mereka ditembak mati dalam kejadian itu," katanya pada sidang media di IPK Kelantan, Kota Bharu, hari ini.

Shafien berkata, dengan tumpasnya kumpulan yang dikenali sebagai Adik Mat itu pihaknya percaya sebanyak lapan kes membabitkan jenayah samun bersenjata api di Kelantan berjaya diselesaikan.

Menurutnya siasatan mendapati suspek utama terbabit berusia 29 tahun dan mempunyai tiga rekod lampau berkait kes jenayah serta sembilan kes narkotik.

Katanya lelaki yang dikenal pasti ketua kumpulan berkenaan merupakan orang yang dikehendaki polis.

"Suspek kedua pula berusia 36 tahun dengan empat rekod lampau berkaitan kes narkotik. Kedua-dua mereka berasal dari Gua Musang," katanya.

Dalam kejadian itu polis juga berjaya merampas sepucuk pistol jenis separa automatik dan sepucuk revolver, pelbagai peluru hidup, kelonsong peluru dan 12,000 biji pil kuda dianggarkan bernilai RM1,200.

"Polis mendapati kumpulan ini aktif sejak tiga tahun lalu dengan modus operasi melakukan samun bersenjata api, ugutan dan terlibat dengan jenayah pengedaran dadah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 dan Seksyen 8 (A) Akta Senjata Api 1960.

"Kedua-dua suspek meninggal dunia di lokasi kejadian dan dihantar ke Hospital Gua Musang untuk tindakan lanjut," kata Shafien.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS