Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tanah runtuh di asrama lelaki pertama kali berlaku sejak penubuhan UIA

Kejadian tanah runtuh di kawasan asrama lelaki Mahallah Zubair, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak di Kuala Lumpur merupakan yang pertama berlaku sejak penubuhannya pada 1983 susulan hujan lebat pada enam petang semalam.

Pegawai Perhubungan Awam UIAM Roslan Rusly berkata pihaknya mengambil tindakan proaktif sejurus menyedari kejadian yang berlaku di Blok C Mahallah Zubair itu dengan menempatkan seramai 128 pelajar di kediaman lain atas faktor keselamatan.

Dia berkata ketika kejadian, pihaknya turun ke lokasi dan memindahkan kesemua penuntut ke blok yang kosong kerana struktur bangunan terjejas dikhuatiri tidak selamat.

"Semalam, pihak bomba datang dan membuat penilaian awal struktur bangunan. Selain bomba, Majlis Perbandaran Selayang, Jabatan Kerja Raya dan Unit Pembangunan UIAM turut memantau perkembangan semasa bangunan itu," katanya kepada Bernama hari ini.

Mahasiswa jurusan seni bina landskap Faris Syahmi A. Rahman, 20, berkata dia tidak menyangka akan berlaku insiden tanah runtuh di blok berhampiran.

Mahasiswa jurusan kejuruteraan komputer Azrin Saedi, 28, pula berkata semasa kejadian, dia tidak mendengar sebarang bunyi tanah runtuh berhampiran blok asramanya.

"Semalam hujan lebat pada enam petang dan saya hanya mengetahui kejadian itu menerusi WhatsApp yang dikongsikan rakan asrama.

"Bagaimanpun, pihak pengurusan UIAM telah menutup kawasan tanah runtuh dengan kain kanvas dan tidak membenarkan mana-mana pihak memasuki kawasan itu," katanya.

Tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati saliran air dan kawasan sekitar tempat parkir di asrama terlibat dipenuhi kesan lumpur susulan hakisan tanah yang berlaku.

Semalam, Bernama melaporkan kira-kira 128 penghuni asrama lelaki UIAM di Gombak diarah mengosongkan premis itu selepas satu kejadian mendapan jalan serta tanah runtuh dikesan berhampiran bangunan tersebut.

Kejadian itu dikesan pada 6.45 petang berikutan aduan pelajar di kawasan terbabit dan tinjauan mendapati keluasan mendapan jalan adalah kira-kira lima meter persegi melibatkan kedalaman kira-kira tiga meter.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS