Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MP Batu derma sebulan gaji untuk mangsa banjir
Diterbitkan:  Dec 27, 2021 5:23 PM
Dikemaskini: 9:23 AM

Anggota Parlimen Batu P Prabakaran memaklumkan dia mendermakan sebulan gajinya bagi membantu mangsa-mangsa banjir.

Prabakarn berkata, ia merupakan satu daripada cara yang diikhtiarkannya untuk mengurangkan beban mereka yang terjejas.

"Saya bersimpati dengan nasib rakyat yang ditimpa kesusahan dan keperitan akibat bencana alam yang terjadi pada hari ini.

"Saya terpanggil untuk mendermakan kesemua gaji bulan Disember ini supaya dapat mengurangkan beban mangsa-mangsa banjir ini," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sehubungan itu ketua AMK Wilayah Persekutuan itu berharap ia dapat menjadi contoh kepada pemimpin lain untuk turut sama membantu mangsa yang teruk terjejas akibat banjir yang melanda.

Selain itu dia berkata pusat khidmatnya turut menyediakan tabung bagi menyediakan barangan keperluan seperti bantal, selimut, dapur gas, periuk nasi, telekung, sejadah dan makanan kering.

"Walaupun saya menderma gaji saya namun ia belum cukup untuk menampung keperluan kebanyakan mangsa banjir yang terjejas teruk, terutamanya ada yang kehilangan tempat tinggal malah keseluruhan harta-benda juga turut musnah.

"Oleh itu, marilah kita bersama-sama ikhtiarkan untuk mengurangkan beban mereka," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS