Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kelantan kesan 11 kes Covid-19 libatkan mangsa banjir

Kelantan merekodkan seramai 11 mangsa banjir yang dikesan positif Covid-19 sehingga semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Dr Zaini Hussin berkata kesemua mereka bagaimanapun dikesan hasil ujian saringan yang dilakukan sebelum ditempatkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

"Kesemua yang positif dihantar ke hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) yang berdekatan.

"Kes yang dikesan itu membabitkan mangsa banjir Gua Musang dan Rantau Panjang," katanya ketika dihubungi hari ini.

Setakat ini, tambah Zaini, berdasarkan saringan ke atas 901 mangsa banjir di PPS, tiada kes positif dikesan.

Zaini berkata, jabatan kesihatan negeri juga sentiasa memantau keadaan dari semasa ke semasa bagi memastikan mangsa banjir yang berada di PPS supaya mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Sementara itu mengulas mengenai situasi Covid-19 di Kelantan, Zaini berkata, negeri itu merekodkan kes harian yang tinggi dan mencatatkan kluster baru setiap hari.

"Semalam, kami merekodkan 311 kes dengan dua kluster baru menjadikan keseluruhan 22 kluster aktif setakat ini.

"Selain itu semua daerah di Kelantan masih dikategorikan sebagai zon merah," jelasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS