Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib label Dr M rasis, pembohong ekoran isu Forest City

Bekas perdana menteri Najib Razak membidas Dr Mahathir Mohamad dan menganggap ahli parlimen Langkawi itu sebagai rasis.

Najib juga menganggap Mahathir sebagai pembohong kerana menukar pendirian terhadap pelaburan langsung asing (FDI) dari China ketika 22 bulan menjadi perdana menteri Pakatan Harapan (PH).

Dakwaan Najib itu dibuatnya dengan merujuk kontroversi pembangunan Forest City iaitu projek perumahan mega yang dibiayai oleh China Country Garden Holdings dan dijual kepada rakyat dari negara Tembok Besar itu.

"Projek Forest City juga dijadikan propaganda politik untuk menyerang saya,” katanya semasa menyampaikan ucap utama pada Forum Ekonomi China Sedunia 2021 yang diadakan di Petaling Jaya, hari ini.

"Sebelum 2018, Dr Mahathir mendakwa bahawa kerajaan BN menggadai kedaulatan negara kepada China, bahawa kami menawarkan 700,000 kewarganegaraan kepada warga China ini untuk berpindah ke Forest City - jelas sekali, pembohongan yang keterlaluan, perkauman dan menjijikkan."

"Dia juga berjanji untuk membatalkan projek itu sekiranya memenangi pilihan raya. Bagaimanapun, tidak lama selepas pilihan raya umum 2018 yang dimenanginya, di sebalik dakwaan itu dan lain-lain yang serupa, dia mula menukar pendirian.

"Tiba-tiba, mereka mengatakan bahawa projek Forest City memberi sumbangan yang besar kepada kerajaan, mewujudkan peluang pekerjaan, menggalakkan kemasukan teknologi dan inovasi dan telah memberi manfaat kepada pertumbuhan ekonomi dan peluang pekerjaan Malaysia.

"Sehinggakan Mahathir turut menghadiri majlis penyampaian sijil penghargaan kepada syarikat Forest City.

"Bayangkan, daripada menggadai kedaulatan kepada sijil penghargaan dalam tempoh setahun," kata Najib.

Pada Mac 2018 Mahathir menuduh Najib - ketika itu menjadi perdana menter - menjual kedaulatan negara ini walaupun ia dinafikan. Malah Najib menegaskan tanah terbabit hanya dipajakkan selama 99 tahun.

Forest City ialah projek usaha sama du antara Country Garden dan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) yang akhirnya dimiliki oleh kerajaan Johor dan Sultan Johor.

Najib juga berkata keputusan PH menangguhkan Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dan dua projek saluran paip minyak dan gas yang dibiayai China telah menjejaskan keyakinan komuniti pelabur dari negara besar terbabit.

"Kita patut biarkan hasilnya sebagai bukti. Pada 2018, catatan aliran masuk bersih FDI adalah lebih rendah sebanyak RM30.7 bilion, berbanding RM40.4 bilion pada 2017.

"Pada 2019, aliran FDI ke Malaysia berkembang secara relatif lebih tinggi pada RM32.4 bilion walaupun jauh lebih rendah berbanding 2017.

"Trend itu sekali lagi menurun pada 2020 dengan aliran masuk bersih sebanyak RM14.6 bilion, 55 peratus lebih rendah daripada 2019, terendah sejak 2009," katanya.

Pada masa sama, kata Najib, kerajaan Perikatan Nasional terus memperkecilkan agenda hal ehwal luarnya dan menumpukan tenaganya untuk memerangi krisis kesihatan awam.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS