Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mangsa banjir rayu Asyraf Wajdi terus perjuangan pengeluaran KWSP
Diterbitkan:  Dec 27, 2021 10:30 AM
Dikemaskini: 2:58 AM

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa dia menerima banyak permintaan daripada rakyat agar “meneruskan perjuangan” menuntut kerajaan membenarkan pengeluaran tunai RM10,000 dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Lebih-lebih lagi, dakwanya, dalam keadaan sebahagian rakyat terjejas teruk oleh bencana banjir.

Kata Asyraf Wajdi ramai mangsa banjir menyampaikan sendiri hasrat berkenaan ketika mereka bersua empat mata.

Harapan itu, kata Asyraf, disuarakan sendiri oleh ramai mangsa banjir ketika dia turun seharian membantu membersihkan 11 buah rumah di Kampung Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang, di Banting, semalam.

Turut serta dalam program itu, katanya, ialah 95 sukarelawan Pemuda Umno Malaysia dan Skuad Sabil Selangor.

“Berat mata memandang, berat lagi bahu memikulnya. Sayu perasaan melihat riak wajah penduduk di kawasan Kampung Bukit Changgang ini kerana boleh dikatakan hampir 100 peratus harta benda mereka musnah akibat air banjir berselut yang menenggelamkan keseluruhan rumah mereka.

“Ramai yang menyapa saya sepanjang gotong royong tadi: ‘Dr (Asyraf), tolonglah teruskan perjuangan menuntut kepada kerajaan bagi pihak kami untuk membenarkan pengeluaran RM10,000 one off (sekali keluar) KWSP'.

“Moga Allah mempermudahkan segala urusan kita sebagaimana kita cuba memudahkan urusan orang lain,” katanya di Facebook.

Terdahulu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata kerajaan tidak bercadang meluluskan pengeluaran berjumlah RM10,000 dari KWSP meskipun ada permintaan untuk meringankan beban mangsa banjir.

Katanya, kerajaan sudah memperuntukkan dana dan bantuan yang cukup bagi membantu mangsa banjir di seluruh negara, bahkan sedia menambah peruntukan itu, selain bimbang dengan baki simpanan pencarum KWSP selepas dua kali pengeluaran menerusi i-Sinar dan i-Citra.

Tambahnya, ada dalam kalangan pencarum yang berisiko menjadi miskin tegar selepas pencen.

Harap bukan muktamad

Mengulas kenyataan Ismail Sabri itu, Asyraf Wajdi, berkata Pemuda Umno berharap ia bukanlah keputusan muktamad perdana menteri dan menteri kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz.

“Dengarlah rintihan rakyat, usahlah dengar nasihat Tengku Zafrul menteri kewangan,” kata Asyraf dalam hantaran sebelumnya.

Katanya, alasan sama turut diberikan Tengku Zafrul ketika dia bersemuka dengannya dahulu.

Namun, tegas Asyraf, bantuan RM1,000 kepada mangsa banjir adalah tidak mencukupi, apatah lagi jika bergantung kepada pendekatan memberikan pinjaman.

“Harap-haraplah ini bukan keputusan akhir perdana menteri dan menteri kewangan.

“Dengarlah rintihan rakyat yang mahukan bantuan i-Citra ini, lebih-lebih lagi terlalu ramai yang mahu kembali memulakan kehidupan dan perniagaan akibat terkesan dengan musibah yang melanda,” katanya lagi.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS