PULASAN | "Abang expect tak program hari ni teruk macam ni?" tanya seorang gadis selepas selesai pembahagian bantuan kepada beberapa puluh mangsa banjir di sebuah daerah di Pahang semalam.
Ada tiga gadis yang bersama bertugas ketika itu. Mereka bukan sukarelawan sangat, tetapi petugas media rasanya.
Ia berlaku ketika saya mencuri masa untuk membaca berita mengenai TV prototaip ciptaan Prof Homei Miyashita dari Universiti Meiji. Dikenali sebagai Taste The TV (TTTV), penemuan Miyashita itu membolehkan seseorang menjilat skrin TV tersebut untuk mendapatkan rasa makanan yang dipapar pada skrinnya.
Kalau diikutkan memang tidak mencabar mana pun program tersebut. Kira-kira ia hanya mengagih-agihkan bahan keperluan asal kepada mangsa terpilih. Umumnya mereka ialah golongan yang kurang berkemampuan atau paling teruk terkesan dengan terjahan bah dari sungai itu.
Kami malah menjangkakan - dan bersedia - dengan tugas yang jauh mencabar. Bahkan ia sangat sederhana.
Yang paling mencabar ialah menahan sabar dengan kerenah rombongan orang kenamaan yang menyertai projek amal tersebut. Seorang menteri persekutuan turun padang. Seperti selalu muncullah konvoi kenderaan pacuan empat roda (4x4) sebagai pengiring.
Ada banyak agensi/jabatan di bawah kementerian dijaga menteri terbabit. Kalau satu jabatan/agensi menghantar sebuah pacuan empat roda, sekurang-kurangnya ada tiga atau empat unit tersedia secara automatik. Kalau wakil dari negeri dan pusat turun sekali, darab dua kalilah.
"Bukannya tolong angkat barang pun," tambah gadis tadi, "tapi ada yang asyik bercakap di telefon, ada yang tengok saja."
Ya. Hanya lebih sedikit dari seminggu bencana berlalu (dan sudah sekian banyak keringat sukarelawan dan orang ramai yang berbudi luhur tertumpah), maka sampailah masa untuk politikus mencelah di mana-mana ruang yang ada atau menempel untuk mencari publisiti.
Sehari dua selepas surutnya bah ini, memang ada beberapa benda yang mula kelihatan dengan jelas di sana sini. Misalnya sampah dan pelbagai barang yang rosak ditenggelami air.
Berdebar-debar menunggu nasib
Ada antara sampah tersebut adalah barang-barang yang sebelum ini dibuang orang. Entah di mana ia dibuang, namun sampah tersebut muncul semula selepas air bah surut.
Turut mula kelihatan ialah menteri-menteri atau orang kenamaan yang muncul dengan wajar sedih dan cuba sedaya upaya agar kelihatan prihatin, sedih dan rajin.
Dalam keadaan tertentu, kedua-dua 'barang' itu - yakni sampah dan orang politik terbabit - dapat dilihat dengan mudah berlonggok-longgok berhampiran tong sampah.
Selama seminggu lebih kurang, ketika orang politik di Putrajaya sesetengahnya tenggelam punca, manakala yang lain mungkin berdebar-debar menanti nasib percutian yang dirancang. Mungkin yang lain sedang bersedap-sedapan di luar negara dan tidak tahu pun ada orang dihanyutkan air.
Dalam keadaan begitu rakyat mengetepikan batas-batas perbezaan - yang dibina secara sistematik oleh orang politik agar mereka dapat berkuasa - untuk kembali menjadi manusia.
Rakyat yang tidak punya apa-apa menghulurkan bantuan sebaik mungkin. Semua perbezaan diketepikan dan semuanya dapat hidup dengan harmoni.
Lebih kurang seminggu kemudian orang politik - besar dan kecil, berjawatan atau tidak - kembali untuk memarakkan permusuhan. Ia bermula dengan cakap-cakap pemimpin peringkat bawahan yang sesetengah orang gelar sebagai macai.
Kemudian muncul pula watak-watak yang biasa kita lihat di media massa. Mereka hadir sebagai orang kenamaan yang perlu dilayan sebagai orang kayangan. Mesti ada polis di depan, belakang, kiri dan kanan. Kalau boleh atas dan bawah juga.
Ia berlaku ketika rakyat terbanyak berjaya menikmati hidup yang aman damai selama seminggu. Sepanjang tempoh itu kita hidup saling bahu-membahu tanpa dibayangi kebencian atau permusuhan.
Dengan munculnya kumpulan politik terbabit, adalah dipercayai bahang permusuhan, kebencian, perseteruan, sikap saling mencurigai dan seumpama dengannya kembali membara.
Terpaksa tunggu VVIP lalu
Jika tidak dikawal, ada kemungkinan ia boleh marak menjadi api - sama seperti pada kebanyakan masa sebelum datangnya peringatan Tuhan melalui bah berkenaan.
Namun sebelum itu, orang politik yang berjawatan besar sudah mula menyusahkan hidup rakyat terbanyak. Hadir bersama pengiring, pengawal dan pengampu, misalnya.
Dalam konteks menteri pusat yang turun padang di Pahang itu, untuk berlaku adil, ada kemungkinan dia tidak mengarahkan wakil dari agensi di bawah portfolionya untuk datang.
Jika begitu, seeloknya menteri terbabit menasihatkan pegawai-pegawainya yang 'menunjuk muka' itu agar mempermudahkan hidup rakyat. Usah menyesakkan jalan.
Namun sudah menjadi budaya di negara ini, amalan menyembah, menunduk dan menunjukkan muka pada setiap kali menteri hadir seakan-akan syarat wajib sebagai kakitangan kerajaan.
Padahal sepatutnya ada banyak lagi kerja yang boleh mereka lakukan demi kemaslahatan rakyat. Atau, terus berada di tempat kerja dan menjalankan kewajiban.
Paling tidak, elakkan daripada menyusahkan hidup orang lain dengan menyesakkan jalan raya. Di sana sini ada penduduk setempat yang perlu pulang membawa makanan kepada keluarga, misalnya, namun terpaksa menunggu seketika bagi memberi laluan kepada VVIP melintas.
Ia mengingatkan saya kepada Miyashita tadi. Betapa lambatnya dia menemui teknologi menjilat skrin TV itu, kerana di sini kita sudah ada budaya 'menjilat' yang cukup intensif.
Kita bukan sekadar mampu menjilat skrin TV, malah lebih daripada itu jika ia ada kaitan dengan politik atau orang politik.
Kerana itu sampah pascabanjir ini agak simbolik. Kebanyakannya dilonggokkan saja di tepi jalan bagi menanti dikutip, atau dihumban ke mulut tong sampah.
Sementara itu kita juga perlu tahu bahawa kadang-kadang 'sampah' yang paling degil untuk disingkirkan ada di Putrajaya.
AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan yang sudah lama tidak menonton TV.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkam pendirian rasmi Malaysiakini.