mk-logo
Berita
Rina bersihkan najis cicak dan unggas degil disingkir, kata JKM
Diterbitkan:  Dec 27, 2021 8:21 AM
Dikemaskini: 12:28 AM

Beberapa ketika selepas Rina Harun dikecam dan diketawakan oleh pelbagai pihak khususnya di dunia maya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tampil menjelaskan keadaan bagi membela menteri terbabit.

Dalam kenyataan dikeluarkan malam tadi agensi JKM menjelaskan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu semasa melawat Sekolah Kebangsaan Salak Tinggi yang menjadi pusat penempatan sementara (PPS) mangsa banjir.

Kata JKM sekolah itu menjadi PPS dari 18 Dis sehingga 23 Dis lalu.

"Semua PPS perlu dipulangkan semula dalam keadaan bersih dan teratur," katanya.

Justeru kata JKM, mereka amat berbesar hati atas kesudian Rina untuk menyertai operasi berkenaan malah dia bersama-sama sukarelawan lain mengemas bilik darjah, menyapu lantai dan tingkap bilik darjah, selain menyusun atur meja serta kerusi pelajar, sesuai dengan persediaan sekolah yang akan dibuka tidak lama lagi.

Rina juga, kata JKM turut mengemas khemah yang digunakan mangsa banjir untuk berlindung dan menyimpan kemudahan tersebut untuk kegunaan masa depan.

"JKM terpanggil untuk menjawab isu tular yang mendakwa YB Rina hanya berposing mencuci simen bersih di sekolah tersebut.

"JKM selaku jabatan yang menguruskan operasi ini telah memohon kesudian YB Rina untuk mencuci kesan-kesan najis unggas dan cicak yang dilaporkan oleh pihak sekolah sukar dicucikan sebelum ini.

"Memandangkan peralatan water jet tersedia ada di lokasi pembersihan, YB Rina tidak menolak pelawaan JKM dan beliau melakukan kerja tersebut dengan dada lapang dan hati yang terbuka," katanya.

Semalam rakaman video Rina menggunakan water jet membersihkan longkang dan lantai kaki lima sebuah sekolah menjadi tular dan menarik perhatian ramai.

Hal itu kerana melalui klip video berkenaan, dapat dilihat sekumpulan jurugambar merakam aksi ahli parlimen Titiwangsa berkenaan. Lebih menarik perhatian ialah, keadaan longkang dan kaki lima itu dikatakan sudah sedia bersih.

Ia juga menyaksikan nama Rina menjadi sohor kini di Twitter untuk rantau Malaysia.

Tak adil perlekeh menteri

Ia berlaku kira-kira seminggu selepas kemunculan awal Rina di sebuah PPS mengundang kritikan kerana dia berkasut tumit tinggi.

Rina sudah menjelaskan bahawa dia terlupa untuk menukar kasut tersebut kerana baru selesai menghadiri perhimpunan agung tahunan partinya dan tergesa-gesa untuk melawat mangsa banjir.

Kata JKM, Rina bukan sekadar membersihkan simen berkenaan malah terbabit dalam kerja pembersihan dan penyusunan semula kelangkapan lain.

"JKM berasa tidak adil para netizen membuat tohmahan dan memperlekeh usaha dan penglibatan YB Rina dalam operasi pembersihan ini," katanya.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS