Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Video bersihkan sekolah undang perhatian, nama 'Rina' sohor kini di Twitter
Diterbitkan:  Dec 26, 2021 6:46 PM
Dikemaskini: 10:46 AM

Nama "Rina" termasuk dalam 10 topik sohor kini untuk Malaysia di Twitter hari ini.

Antara topik perbincangan yang mencetuskan perkara itu adalah kegiatan turun padang Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun di kawasan yang terjejas dengan banjir.

Ia perkara yang menarik perhatian ramai pengguna media sosial itu adalah video memaparkan Rina menggunakan penyembur air atau water jet sambil jurugambar merakam aksinya.

Seorang pengguna Twitter yang memuat naik video itu mempersoalkan mengapa dia membersihkan lantai yang tidak dicemari dengan lumpur banjir.

"Enta kenapa dia pergi cuci PPS (pusat penempatan sementara). Sepatutnya pergi cuci rumah mangsa banjir. Tengoklah, secalit lumpu pun tiada di situ," kata @dylawok.

Ketika berita ini ditulis, video itu telah diciap semula lebih 15,000 kali.

Dalam satu hantaran di Facebook, Rina menjelaskan dia berkunjung ke SK Salak di Salak Tinggi, Selangor untuk menyertai operasi pasca bencana.

Menurut Rina, ia bagi membersihkan serta menyusun semula sekolah itu yang sebelumnya dijadikan sebagai PPS, bagi memastikan sekolah itu dapat beroperasi seperti biasa apabila sesi persekolahan dibuka nanti.

"Alhamdulillah, semua keluarga sudah kembali ke kediaman masing-masing selepas banjir surut.

"Saya berbangga dengan semangat para sukarelawan dan tenaga kerja seluruh agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat KPWKM yang mengerah keringat bagi memastikan sekolah ini dapat beroperasi seperti biasa apabila sesi pembelajaran bermula nanti," katanya.

Rina sebelum ini turut mengundang kritikan kerana memakai kasut tumit tinggi ketika menemui mangsa banjir di Kuala Lumpur.

Menjelaskan perkara itu, dia berkata sebelum ke PPS di situ, dia menghadiri perhimpunan agung Bersatu Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec), dan bergegas keluar setelah presiden Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan.

Dia juga berkata perkara itu tidak sepatutnya menjadi isu.

"Saya hanya berkesempatan menyalin baju saya saja, saya tukar baju saya.

"Saya sudah tak teringat pada kasut saya, kerana apa yang lagi penting pada saya ialah keberadaan saya di pusat tersebut untuk membantu dan menjaga kebajikan mangsa-mangsa banjir tersebut," katanya seperti dipetik Utusan Online.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS