Langkah menunda kenderaan yang ditenggelami banjir hujung minggu lalu tiada kaitan dengan lawatan berjadual Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob ke Hulu Langat hari ini, menurut Adun Dusun Tua Edry Faizal Eddy Yusof.
Sebaliknya, Edry berkata usaha mengalihkan kenderaan yang terkandas di jalan raya telah dimulakan lebih awal.
"Kita memang dah mula tunda (kereta-kereta yang tersadai di tepi jalan akibat ditenggelami banjir) Ia tidak ada kena mengena dengan perdana menteri datang," katanya ketika dihubungi.
“Selepas banjir banyak kereta tenggelam dan terkandas, ada yang menghalang jalan.
“Sekarang kita nak buka jalan untuk jentera pembersihan boleh masuk (ke kawasan terjejas banjir),” katanya lagi.
Jelas Edry, proses itu juga merupakan keutamaan ketika ini oleh Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).
Edry berkata demikian sebagai menjawab persoalan yang dibangkitkan seorang pengguna Facebook dari Taman Casa Lagenda, Hulu Langat, yang mendakwa kereta Mitsubishi Triton miliknya dan kenderaan penduduk lain telah ditunda tanpa pengetahuan mereka, dikatakan ekoran lawatan Ismail awal pagi tadi.
Sukarelawan tersebut, Lia Jamalee, dalam hantarannya berkata semua kenderaan yang ditarik di Sri Nanding dan Taman Casa Lagenda ditemui kemudian di Pasar Malam Agora.
Sementara itu, Edry berkata konvoi lawatan Ismail hari ini juga telah menyebabkan gangguan di kawasan itu, termasuk terhadap sebuah ambulans yang dilihat terpaksa memberi laluan terlebih dahulu kepada rombongan itu.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada ambulans terbabit - yang rakamannya dimuat naik di Twitter - sedang membawa pesakit pada masa itu.
"Ini di Pekan Batu 14. Dalam video itu dia akan menuju dari Taman Sri Nanding," kata seorang pengguna laman sosial itu.
Awal hari ini, Edry mendakwa dia dihalang daripada hadir menyambut lawatan perdana menteri di kawasannya pagi tadi.
Katanya, apabila mengetahui mengenai lawatan Ismail di situ, sebagai wakil rakyat dia diminta menyambutnya sebagai tanda hormat.
Selepas dihalang, pemimpin DAP Selangor itu berkata dia meninggalkan kawasan berkenaan untuk menyambung kerja-kerja membantu penduduk yang terjejas.
Pada rajutan sama dia juga menegur polis yang didakwanya gagal hadir dalam mesyuarat penyelarasan bantuan kepada penduduk di sekitar kawasan terbabit.