Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jangan tambah mual rakyat pada politikus, kata PH Johor
Diterbitkan:  Dec 26, 2021 2:47 PM
Dikemaskini: 7:04 AM

Pakatan Harapan (PH) Johor berpandangan, langkah melaksanakan sebarang pilihan raya negeri (PRN) pada masa ini sebagai tidak sensitif terhadap realiti yang sedang rakyat lalui.

Dalam kenyataan bersama hari ini, pimpinan utama PH Johor berkata, krisis kesihatan akibat Covid-19 yang memberikan dampak kelembapan ekonomi masih belum selesai, bahkan kemunculan varian Omicron menambah lagi kebimbangan rakyat.

"Ramai rakyat biasa yang terkesan. Dari sudut ekonomi domestik, ramai yang hilang pekerjaan seterusnya mengubah kehidupan rakyat, ibarat kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.

"Tambah mendukacitakan, kegagalan kerajaan menstabilkan harga barangan mutakhir ini juga telah mencurahkan cuka pada luka yang dialami rakyat," kata mereka.

Pada masa sama kata PH Johor di sebahagian negara, rakyat sedang bergelut dengan bencana banjir yang telah mengorbankan puluhan nyawa serta kemusnahan harta benda mencecah jutaan ringgit.

"Ini suatu sejarah hitam. Lebih malang lagi, saat rakyat berhadapan kesemua malapetaka ini, terdapat sebahagian pemimpin negara yang sedang bercuti di negara," kata mereka.

Kenyataan itu dikeluarkan Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan; Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh; dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong.

Ia dibuat sebagai mengulas kenyataan Menteri Besar Johor Hasni Mohammad yang berkata, kerajaan negeri akan melihat dan memantau keadaan semasa termasuk meneliti keperluan untuk mengadakan PRN berikutan mempunyai kelebihan hanya satu kerusi di dewan undangan negeri (DUN).

Menurut Hasni, satu pertemuan dengan perdana menteri akan diadakan bagi memaklumkan tentang kedudukan kerajaan negeri yang ketika ini mempunyai majoriti yang amat tipis.

Keadaan itu katanya dikhuatiri membuatkan kerajaan negeri bertambah tidak stabil.

PH Johor berpandangan, kenyataan dikeluarkan Hasni itu sebagai tidak memiliki sedikit pun empati dengan nasib yang sedang dihadapi rakyat.

"PH Johor berpendirian segala usaha, tenaga, komitmen dan dana haruslah disalurkan untuk membantu rakyat yang sedang dalam kesusahan pada ketika ini, meskipun kedudukan DUN Johor berada pada angka 28-27 selepas pemergian Adun Kempas, Osman Sapian.

"Ini kerana, PH Johor telah sebulat suara menyatakan komitmen sepenuhnya untuk memberikan fokus membela nasib rakyat berbanding sepak terajang politik seputar soal perebutan kuasa semata-mata.

"Jangan menambah mual rakyat lagi terhadap perangai politikus saat rakyat sedang bergelut bertarung nyawa dan berusaha mencari sesuap nasi demi kelangsungan hidup mereka," tegas PH Johor.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS